PROGRAM PERNIAGAAN INKLUSIF BANTU TINGKATKAN PENDAPATAN PENDUDUK

TINJAU: Ewon mendengar penerangan ringkas mengenai produk yang akan dihasilkan melalui program perniagaan inklusif daripada Mary Jim.

KOTA BELUD: Pelaksanaan Program Pembangunan Perniagaan Inklusif di Kampung Podos diyakini mampu meningkatkan pendapatan penduduk serta memperkasa ekonomi komuniti luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, program berkenaan membolehkan penduduk kampung terlibat secara menyeluruh dalam rantaian nilai, bermula daripada pengeluaran bahan mentah sehingga penghasilan produk akhir berkualiti yang berpotensi dipasarkan bukan sahaja di Sabah, malah di luar Sabah.

“Saya merakamkan penghargaan kepada SME Corp Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kerana memilih Kampung Podos sebagai lokasi pelaksanaan program ini yang merupakan antara inisiatif penting bagi merapatkan jurang ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan peluncuran Projek Rintis Pembangunan Perniagaan Inklusif Negeri Sabah di Kg. Podos.

Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Koperasi berkata, pemilihan Kg. Podos amat bertepatan kerana ia memberi peluang kepada penduduk setempat untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti ekonomi berasaskan komuniti melalui pendekatan Perniagaan Inklusif.

Beliau berkata, projek berkenaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita dan komuniti luar bandar yang masih berdepan cabaran ekonomi, selaras dengan fokus pembangunan keusahawanan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Projek Pembangunan Perniagaan Inklusif Sabah di Kg. Podos itu akan dilaksanakan selama setahun melibatkan empat fasa bimbingan, termasuk pembangunan produk, peningkatan kemahiran, pengurusan perniagaan dan pemasaran.

Katanya, kerjasama berterusan antara agensi negeri dan Persekutuan amat penting bagi membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berharap pelaksanaan projek itu akan memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi desa serta menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat di Kg. Podos, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

MURID TAHUN 2 MAUT, NENEK PARAH TERBABIT KEMALANGAN DALAM PERJALANAN KE SEKOLAH

Setiu: Seorang murid perempuan Tahun Dua maut manakala neneknya cedera parah selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan …

BEKALAN DARAH NEGARA: MENGAPA KITA SENTIASA MEMERLUKAN PENDERMA?

Darah merupakan satu keperluan penting dalam sistem kesihatan sesebuah negara. Setiap hari, terdapat pesakit yang memerlukan darah akibat kemalangan, pembedahan, …

MANFAAT PELUH KEPADA KESIHATAN

Peluh merupakan cecair yang dihasilkan oleh kelenjar peluh pada kulit manusia. Pengeluaran peluh biasanya berlaku apabila seseorang melakukan aktiviti fizikal, …