ALBUM: Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Mohamad Sabu dan tetamu kehormat yang lain.
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) mengadakan kunjungan hormat dan sesi perbincangan bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam pembangunan sektor pertanian dan perikanan di Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkasa rantaian pengeluaran makanan negeri khususnya melibatkan padi, beras, jagung, ternakan ruminan serta infrastruktur sokongan sektor pertanian.
Beliau berkata, antara agenda utama yang dibincangkan ialah pengukuhan pembangunan tanaman padi dan beras Sabah melalui peranan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) sebagai teras kepada peningkatan tahap sara diri (SSL) beras negeri.
Selain itu katanya, pembangunan tanaman jagung untuk tujuan makanan ternakan turut diberi penekanan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan mentah dari luar negara.
“Usaha mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian di beberapa daerah juga dibincangkan bagi memudahkan urusan pemasaran, logistik dan pengurusan rantaian bekalan hasil tani tempatan,” katanya.
Jamawi turut memaklumkan bahawa pembinaan jeti baharu untuk kemudahan nelayan di Sandakan dan Semporna menjadi antara fokus penting bagi mempertingkatkan kebajikan serta kecekapan operasi komuniti nelayan di pantai timur Sabah.
Menurutnya, sektor ternakan ruminan turut dirangka untuk diperkasakan melalui sokongan teknikal, pemodenan kaedah penternakan serta penyediaan kemudahan sokongan yang lebih tersusun.
“Cadangan penambahbaikan infrastruktur jalan-jalan pertanian di seluruh Sabah juga diketengahkan supaya akses ke kawasan ladang dan perkampungan tani dapat dipertingkatkan sekali gus mengurangkan kos operasi pengusaha,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, termasuk Ketua Setiausaha Kementerian serta Timbalan Menteri, Datuk Chan Foong Hin dalam menyokong agenda pembangunan pertanian Sabah.
Jamawi menegaskan, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan adalah kunci utama untuk memastikan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan di Sabah terus berdaya saing, mampan serta mampu menjamin keselamatan makanan jangka panjang negeri ini.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



