APLIKASI MYSAMB LONJAKAN INOVASI SAMB

Alor Gajah – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) melakukan lonjakan inovasi apabila melancarkan aplikasi MySAMB dalam menyediakan perkhidmatan lebih efisien, pantas dan responsif kepada pengguna.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peluncuran aplikasi ini membuktikan bahawa SAMB bukan sekadar penyedia perkhidmatan tetapi peneraju transformasi digital selari dengan keperluan tadbir urus moden, automasi proses serta integrasi sistem.

“Aplikasi mudah alih ini berfungsi sebagai platform sehenti dalam talian yang membolehkan pengguna menyemak dan membuat pembayaran bil, menerima notifikasi bekalan air secara masa nyata termasuk mengurus akaun dengan pantas, selamat serta mudah.

“Inilah wajah baharu tadbir urus SAMB yang bukan sahaja mengukuhkan imej korporat dan keyakinan awam malah mencerminkan sebuah organisasi progresif, responsif dan berorientasikan keperluan pelanggan.

“Ini seiring dengan aspirasi pendigitalan perkhidmatan Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi Tea Dan Doa Restu: Meraikan Bakal Jemaah Umrah Dan Peserta Ziarah Keagamaan SAMB, di Villa Harmoni SAMB, A’Famosa Resort Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Wira Ab Wahab Ab Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd Saleh Jusman.

Menurut Ketua Menteri, sejak mula beroperasi pada 5 Disember lalu, lebih 9,000 pengguna telah berdaftar dan menggunakan aplikasi MySAMB.

“Sehingga November 2025, SAMB merekodkan sebanyak 365,095 akaun pengguna berdaftar dan daripada jumlah itu seramai 9,957 pengguna telah berdaftar serta menggunakan aplikasi ini.

“Apapun, pelancaran MySAMB bukan hanya memperkenalkan teknologi sebaliknya menegaskan komitmen SAMB untuk sentiasa selangkah di hadapan dan memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …