TANGKAP: Antara yang diperiksa dan ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh JIM Sabah.
SANDAKAN: Seramai 17 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam siri operasi penguatkuasaan di sekitar daerah ini sejak 1 Disember lalu hingga semalam.
JIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi itu digerakkan hasil aduan awam serta risikan hampir seminggu di beberapa lokasi tumpuan warga asing yang dipercayai tidak memiliki dokumen sah.
Seramai 10 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Sandakan terlibat dalam pemeriksaan terhadap 58 individu di beberapa kawasan berasingan.
“Hasil pemeriksaan, 17 warga asing masing-masing dari Filipina dan Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Selain itu, dua borang saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi,” menurut kenyataan berkenaan.
JIM berkata semua yang ditahan gagal mengemukakan pas perjalanan atau dokumen yang sah dan kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PTI.
Jabatan itu juga menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan warga asing tanpa izin bagi membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman setempat.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



