Merlimau – Usaha gigih dan komitmen tinggi pelajar Politeknik Merlimau Melaka (PMM) membuahkan hasil apabila 161 pelajar institusi itu berjaya menamatkan Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM).
Penyelaras Program ARPRM Amir Awang@Muda berkata, pencapaian itu menunjukkan dedikasi pelajar dalam melengkapkan latihan pembangunan sahsiah di bawah program yang diadaptasi daripada ‘The Duke of Edinburgh’s Award’.
“ARPRM merupakan program pembangunan yang memberi peluang kepada remaja berusia 14 hingga 25 tahun mengasah potensi diri melalui empat komponen utama iaitu kemahiran, kecergasan fizikal, aktiviti luar dan kerja sukarela.
“Program ini ditawarkan dalam tiga peringkat iaitu gangsa, perak serta emas dan daripada jumlah itu 12 pelajar PMM menerima pentauliahan peringkat perak, manakala 149 pelajar menerima pentauliahan gangsa,” katanya.
Majlis Pentauliahan ARPRM Peringkat Negeri Melaka Siri 1 berlangsung pada 18 November dan disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Nur Hasyiqin M. Ali Othman@M. Ali; Pengarah JBS Negeri Melaka Zailani Siran; Pengarah PMM, Left. Kolonel Norizam Sekak dan lain-lain Wakil agensi serta jabatan.
Dalam majlis sama, empat pensyarah PMM turut ditauliahkan sebagai Pemimpin ARPRM iaitu Sharifuddin Mohd Yusof (RELASIS), Mohd Izuddin Yusop (RELASIS), Siti Zahrah Salihan (PISPA) dan Ts Dr. Norhayati Abd Wahab (Pengakap Kelana).
Menurut Amir, penyertaan aktif pelajar membuktikan kemampuan mereka dalam aspek kepimpinan, sahsiah, kecergasan dan khidmat komuniti selain menjadi inspirasi kepada remaja lain untuk menyertai program pembangunan belia.
“PMM sentiasa menyediakan platform pembangunan bakat dan pengiktirafan pelajar melalui program seperti Merit KITA dan ARPRM bagi melahirkan belia berdisiplin, berdaya saing dan berwibawa,” katanya.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)



