KADAR PENGANGGURAN MENURUN, PELUANG KERJA BERTAMBAH DI MELAKA

Bandaraya Melaka – Kadar pengangguran di Melaka merekodkan penurunan 1.8 peratus pada tahun lalu, sekali gus menjadi antara yang terendah di Malaysia.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, angka pengangguran itu dijangka terus berkurangan tahun ini memandangkan kekosongan jawatan aktif yang ada di negeri ini masih banyak dan boleh dimanfaatkan oleh rakyat yang sedang mencari pekerjaan.

Jelas beliau, berdasarkan semakan di portal MyFutureJobs dari Januari hingga 19 September 2025, masih terdapat 24,739 kekosongan jawatan aktif yang boleh diisi oleh pencari kerja.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, peluang pekerjaan di negeri ini juga dijangka semakin bertambah susulan pembangunan tiga kawasan perindustrian baharu yang akan dibangunkan di Melaka.

“Antara kawasan perindustrian baharu yang dibangunkan adalah Taman Teknologi Jerman (GTP) di Ayer Keroh; MCORP Hi-Tech Park di Masjid Tanah serta pembesaran Elkay 2.0 di Lipat Kajang, Jasin.

“Ini bermaksud peluang pekerjaan di Melaka semakin meluas, namun ia menuntut pekerja yang benar-benar berkemahiran dan majikan yang komited melatih tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Tenaga Kerja Seiring Kepesatan Teknologi di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abd Azis; Pengarag Proton Institute (ADTEC Melaka) Ts. Dr. Norhuda Salim serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Hee Sem memuji penganjuran program berkenaan yang disifatkan sangat penting dalam memberi nilai tambah kepada ekosistem pekerjaan di Melaka, di mana inputnya boleh dimanfaatkan majikan, pekerja dan agensi kerajaan.

Pada masa sama, beliau turut menyeru majikan di negeri ini agar menggunakan sepenuhnya dana, levi dan geran latihan yang disediakan kerajaan bagi memperkasa tenaga kerja.

“Para pekerja pula perlu sentiasa meningkatkan kemahiran agar kekal relevan dengan perubahan teknologi yang pesat.

“Kerajaan Negeri komited menyediakan sokongan dasar, inisiatif pembangunan kompetensi dan kerjasama erat dengan industri demi memastikan Melaka terus menjadi negeri dengan tenaga kerja berkualiti tinggi,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …