RAMPASAN: Antara ayam sabung yang berjaya dirampas dalam operasi berkenaan.
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah menahan 15 individu termasuk seorang wanita warga asing dan merampas ayam sabung bernilai lebih RM3 juta menerusi 12 serbuan berasingan di seluruh negeri.
Op Manuk itu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan pembiakan dan penjualan baka ayam yang dipercayai digunakan untuk aktiviti sabung ayam.
Komander Briged PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, serbuan dilakukan di beberapa daerah termasuk Kudat, Keningau, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.
“Dalam serbuan pertama terbesar yang dijalankan Task Force Risik BN17 PGA di dua lokasi sekitar Lahad Datu, pasukan berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas barangan bernilai RM795,775.
“Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan Sabah 2015,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, serbuan di lokasi lain pula membawa siasatan mengikut beberapa peruntukan undang-undang lain antaranya Seksyen 5(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Jadual Dua Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Seksyen 13(1) Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975.
Menurutnya, operasi itu turut mengesan ladang penternakan yang dijalankan tanpa lesen sah serta pelbagai kesalahan lain.
“PGA akan terus melaksanakan operasi seumpama ini demi menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Orang ramai yang ingin menjalankan aktiviti penternakan ayam dinasihatkan supaya mendapatkan permit sah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi mengelakkan salah laku dan keterlibatan dalam penyeludupan haiwan khususnya ayam sabung,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



