OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi di lokasi kejadian.
SEMPORNA: Tujuh individu termasuk seorang jurumudi terselamat dalam insiden perlanggaran dua bot di perairan Seafest, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, semua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Difahamkan, bot penumpang jenis kayu itu dalam perjalanan ke pekan manakala bot fiber membawa pelancong dalam perjalanan ke pulau dan berlaku perlanggaran ketika melalui laluan keluar masuk bot.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Akhimullah Adan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian out pada jam 9.08 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 500 meter sebelum sampai ke jeti utama.
“Terdapat tujuh penumpang termasuk jurumudi bot di atas bot berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, semua penumpang terbabit dalam keadaan selamat dan dihantar balik ke Kampung Hidayat Balembang.
“Operasi terkawal pada jam 9.22 pagi sebelum tamat sepenuhnya kira-kira lapan minit kemudian,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online