Seorang juruterbang wanita di sebuah syarikat penerbangan mengalami kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan tawaran pakej haji yang tidak wujud. Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim, mangsa berusia lingkungan 30-an itu membuat laporan polis pada jam 11.23 pagi, Selasa, di Balai Polis Nilai.
Mangsa mendakwa telah ditipu selepas berurusan dengan individu dari sebuah agensi pelancongan umrah yang menawarkan pakej haji pada 14 Januari lalu. Pengadu berminat dengan tawaran pakej haji tersebut dan telah membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM194,970 ke dalam akaun agensi berkenaan sebagai bayaran penuh bagi pakej yang ditawarkan.
Namun, pada 15 Mac lalu, pengadu menyedari telah ditipu selepas mendapati agensi pelancongan tersebut sudah tidak beroperasi dan beliau tidak dapat menunaikan ibadah haji seperti dijanjikan.
Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan serta menangkap suspek. Polis menasihatkan orang awam agar berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej menunaikan haji atau umrah yang tidak berlesen. Lakukan semakan terlebih dahulu dengan pihak Tabung Haji dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Sumber: Sinar Harian