MENJELASKAN: Christina (tengah) semasa dalam sidang media itu.
KOTA KINABALU: Sambutan kemuncak Regatta Lepa edisi ke-30 akan berlangsung pada 29 Jun 2025 di Dataran Regatta Lepa Semporna dan Padang Bandar Semporna.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, pelbagai pengisian menarik akan diadakan termasuk Perarakan Lepa Tradisi yang menghimpunkan perahu berhias penuh warna-warni dan ukiran warisan serta Persembahan khas Strategik pasukan keselamatan yang mempamerkan kecekapan dan kolaborasi antara pasukan beruniform dan komuniti.
“Pada malam kemuncak, iaitu 29 Jun 2025, yang dinamakan ‘Sangom Mairan’, ia akan menjadi malam penuh gemilang dengan pengisian istimewa.
“Antaranya Majlis Perasmian dan Penutupan Rasmi Regatta Lepa 2025, penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Ratu Lepa dan Pertandingan Lepa Tradisi.
“Penobatan Anugerah Tokoh Regatta Lepa 2025 dan banyak lagi,” katanya pada sidang media Regatta Lepa edisi ke-30, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyokong dan memperkasakan program berteraskan kebudayaan, sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan pelancongan yang mampan dan inklusif.
Katanya, Regatta Lepa bukan hanya acara pelancongan, tetapi juga ruang untuk memperkukuhkan jati diri, menjana ekonomi tempatan dan menyatukan rakyat dari pelbagai latar belakang melalui semangat kebudayaan.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online