‘SAYA CINA TAPI NAMA MELAYU NUR FARHANA, NAMA INDIA PULA TAMANA’

Walaupun dilahirkan sebagai seorang berbangsa Cina, namun Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, mempunyai nama Melayu dan India.

Menceritakan perkara itu, Nicole berkata, nama tersebut diberikan rakan daripada pelbagai bangsa yang rapat dengannya kerana membesar dalam masyarakat majmuk.

Nicole berkata, dia membesar dan mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan membuka peluang untuknya bergaul rapat dengan rakan daripada pelbagai bangsa dan budaya apabila bersama-sama menyambut Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

“Saya banyak keluar dengan kawan Melayu, pergi main tenis dan menghadiri kenduri bersama-sama, jadi mereka beri nama Melayu, Nur Farhana kepada saya yang bermaksud ‘cahaya keceriaan’.

“Kemudian, kawan India pula kata saya dah ada nama Inggeris, Cina dan Melayu, jadi mereka beri cadangan nama India pula. Saya pilih Tamana, watak dari filem Baahubali yang bermaksud ‘harapan’,” ujarnya.

Selain itu, katanya, walaupun dilahirkan sebagai seorang Cina, beliau mengakui tidak fasih berbahasa Mandarin kerana selain belajar di sekolah kebangsaan, keluarganya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara.

“Saya merupakan generasi ketiga. Datuk saya datang dari China manakala bapa saya pula dihantar ke sekolah kebangsaan. Saya pun sama.

“Bahasa Mandarin yang saya gunakan sekarang hanyalah bahasa pasar. Keluarga kami menggunakan dialek Kantonis, manakala saya dan bapa berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.

Nicole yang mempunyai latar belakang sebagai peguam berkata, minat mendalami bahasa Mandarin semakin kuat apabila beliau menyertai dunia politik dan perlu berurusan dengan pelbagai pihak termasuk mempromosikan pelancongan.

“Saya pernah ikuti kelas bahasa Mandarin tapi dapat bertahan hanya sebulan saja sebab susah. Kalau belajar dari kecil mungkin lebih mudah untuk faham.

“Tapi saya tak putus asa. Semasa saya berkhidmat sebagai peguam, saya banyak berlatih bertutur dalam bahasa Mandarin dengan anak guam dan dari situ saya banyak belajar. Saya berpandangan Mandarin saya semakin baik berbanding dahulu,” katanya.

Selain itu, katanya, setiap kali sebelum memberi ucapan, beliau akan membuat latihan terlebih dahulu bagi mengelak tersalah cakap yang boleh membawa maksud lain.

Namun begitu, beliau beranggapan kelemahan itu bukan halangan besar buatnya memandangkan beliau lebih banyak berurusan menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris termasuk ketika berinteraksi di peringkat antarabangsa.

“Ia cuma jadi masalah komunikasi ketika mahu mempromosi produk pelancongan negeri ini ke China. Kalau untuk di Eropah, tiada masalah.

“Ada juga sedikit kesukaran berbual bersama rakan sebangsa menggunakan bahasa ibunda, namun mereka faham apabila dimaklumkan latar belakang saya,” tuturnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan rakyat sepatutnya meraikan kepelbagaian budaya, agama dan bahasa sebagai satu kekuatan negara.

Sumber: http://Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

‘SAYA CINA TAPI NAMA MELAYU NUR FARHANA, NAMA INDIA PULA TAMANA’

Walaupun dilahirkan sebagai seorang berbangsa Cina, namun Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, mempunyai nama …
Maklumat Lanjut

INISIATIF 1 RUMAH 1 JALUR GEMILANG

 Ayuh kibarkan Jalur Gemilang di rumah anda! Satu bendera, sejuta makna — simbol cinta & bangga pada tanah air tercinta  …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN UTAMA KEPENTINGAN PERLUAS CAPAIAN DIGITAL

CENDERAMATA: Hajiji menerima cenderamata daripada Gobind semasa kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu hari ini. KOTA KINABALU: Kerajaan negeri …
Maklumat Lanjut