Dua individu termasuk seorang bekas Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan serta sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan meletakkan buangan bahan kimia, iaitu buangan pelarut organik bukan terhalogen, secara haram di Port Dickson, tahun lalu.
Orang Kena Saman (OKS), S Sivanathiran, 62, (bekas Timbalan Pengarah JAS Negeri Sembilan), Chan Kwai Soon, 47, dan syarikat Nature Energy Products Sdn. Bhd. bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, kedua-dua OKS sebagai pengarah syarikat serta syarikat mereka didakwa telah meletakkan buangan terjadual dengan kod SW322, iaitu buangan pelarut organik bukan terhalogen seperti yang disenaraikan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 14 Oktober 2024, kira-kira jam 4.30 petang di Lot 11224, Mukim Jimah, Port Dickson.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34B(4) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM10 juta.
Timbalan Pendakwa Raya JAS, Nurliyana R. Azmi berhujah bahawa terdapat keperluan untuk kedua-dua OKS dikenakan jaminan dan mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap OKS, tidak termasuk syarikat. Beliau turut memohon agar mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan kedua-dua OKS dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam bela yang mewakili tertuduh, Ramzani Idris dan Haresh Mahadevan, berhujah bahawa tiada keperluan atau indikasi bahawa OKS tidak akan hadir ke mahkamah atau tidak memberi kerjasama. Tambahnya, kedua-dua OKS merupakan ahli perniagaan, dan salah seorang daripadanya adalah bekas penjawat awam.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 kepada Sivanathiran dan Chan Kwai Soon. Kedua-dua OKS juga diarahkan melaporkan diri di pejabat JAS sekali setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu saksi, sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga. Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Julai depan.
Sumber: Sinar Harian