PERKAMPUNGAN VETERAN ATM PAROI MANFAAT 17,000 PESARA JANA PENDAPATAN

Pusat Perniagaan Paroi akan dijadikan perkampungan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berfungsi sebagai pusat aktiviti penjajaan, ekonomi dan sosial. Menurut Naib Presiden Persatuan Veteran ATM, Datuk Adnan Ahmad, setakat ini aktiviti perniagaan yang telah dijalankan membabitkan jualan ayam sejak Januari lalu serta sewaan dewan pada bulan Mac.

Sebuah hotel yang sedang dalam proses pembinaan dan menyediakan kemudahan lebih 100 bilik dijangka beroperasi pada Jun ini. Pihaknya bekerjasama dengan syarikat DECC Malaysia dalam membangunkan Pusat Perniagaan Paroi sebagai pusat sehenti bagi menjana pendapatan untuk veteran ATM. Mereka juga menggalakkan pembabitan ahli veteran sendiri untuk terlibat sebagai rakan niaga dengan mengeluarkan modal bagi memajukan produk perniagaan yang ditawarkan. Sebagai contoh, dengan modal RM3,000 untuk perniagaan hotel, peserta boleh mendapat manfaat pulangan selama dua tahun sebanyak RM450 sebulan.

Perkampungan veteran itu juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain termasuk perkhidmatan kesihatan, ambulans dan pusat khidmat nasihat berkaitan kebajikan veteran, balu serta ahli keluarga. Projek ini bukan sekadar perancangan, sebaliknya telah dalam pelaksanaan yang dijangka siap secara berperingkat.

Hasrat mereka adalah untuk menjadikan perkampungan ini sebagai model yang boleh dicontohi, selaras dengan matlamat membantu veteran dan balu khususnya dari aspek kebajikan. Menurutnya, ketika ini terdapat seramai 17,000 ahli veteran di Negeri Sembilan dengan sebahagian besar daripada mereka berusia lebih 60 tahun.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memberi fokus kepada usaha memastikan kebajikan veteran diberi perhatian dan pembelaan sewajarnya. Pelaksanaan projek perkampungan veteran itu sekurang-kurangnya dapat memudahkan usaha persatuan untuk membantu golongan tersebut secara dekat selain pelaksanaan program turun padang.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut