Nekad terjun dari platform setinggi enam meter dan bersembunyi di celah barang binaan antara gelagat pendatang asing tanpa asing (PATI) yang ‘kepanasan’ apabila diserbu pihak berkuasa pada Rabu. Serbuan itu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) dalam operasi di tapak pembinaan sekitar Bukit Kepayang, pada jam 10.45 pagi.
Menurut Pengarah JIMNS, Kennith Tan Ai Kiang, hasil daripada operasi berkenaan, seramai 102 daripada 130 warga asing yang diperiksa telah ditahan. Seramai 102 orang PATI yang berusia antara 13 hingga 55 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang Imigresen. Mereka terdiri daripada (93) lelaki dan (9) perempuan yang mana (55) warga Indonesia, (1)warga Pakistan, (29) warga Bangladesh, (16) Myanmar.
Tindakan penguatkuasaan diambil susulan aduan awam berhubung PATI yang disyaki tiada pas dan dokumen pengenalan diri yang sah. Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada pas dan dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JIMNS menyeru orang ramai agar tampil membuat laporan atau aduan bagi membantu usaha membanteras kebanjiran PATI di negara ini. JIMNS juga akan melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi PATI, termasuk melalui pendakwaan di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sumber: Sinar Harian