TANGKAP: Antara nelayan yang ditahan dalam operasi berkenaan di sekitar perairan Sandakan.
SANDAKAN: Seramai 11 nelayan ditahan dan dua kapal ikan dirampas selepas didapati melanggar syarat sah lesen dalam dua kes berasingan di sekitar perairan Sandakan hingga Kinabatangan, semalam.
Semua tangkapan dilakukan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Op Khas Cegah PATI / Op Pluto Timur dan Op Tiris yang dijalankan di peraiaran berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata kes pertama membabitkan kapal nelayan tempatan di perairan Tanjung Layar-layar Sandakan, pada jam 8 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan, kapal berkenaan didapati telah melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985.
Menurutnya, kapal berkenaan didapati menggunakan lampu pengumpul ikan yang dilabuhkan ke dasar untuk menangkap ikan dalam jarak kurang daripada 12 batu nautika dari tanah besar.
“Sembilan individu ditahan iaitu seorang tekong warga tempatan dan lapan anak kapal bukan warganegara dengan pelbagai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Pelbagai peralatan dan bahan bukti dirampas, termasuk kapal nelayan, lampu pengumpul ikan, lesen perikanan dan hasil laut yang dianggarkan seberat 100 kilogram,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Dalam kes berasingan, katanya, sebuah lagi kapal nelayan dikesan sedang menarik pukat tunda di luar kawasan yang dibenarkan di perairan Kinabatangan Kecil pada jam 12.28 tengah hari.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua orang di atas kapal berkenaan iaitu masing-masing warga tempatan dan warga asing.
“Barang rampasan termasuk pukat tunda, papan tunda, Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), serta hasil laut berupa ikan dan udang telah disita,” katanya.
Muhamad Suhairy berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Semua yang ditahan serta barang rampasan di bawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.” Katanya.
Menurutnya, operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti perikanan haram yang sering melanggar peraturan dan melibatkan penggunaan peralatan yang tidak sah, serta memastikan semua individu yang terlibat mematuhi undang-undang imigresen negara.
“Komuniti maritim diingat supaya sentiasa bekerjasama dengan Maritim Malaysia dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online