MANGSA BANJIR BEAUFORT DAN MEMBAKUT MENERIMA BANTUAN TUNAI RM1,300 DAN MAKANAN

TINJAU: Hajiji diberikan taklimat semasa mengadakan tinjauan ke Pekan Beaufort mengenai situasi banjir yang berlaku.

BEAUFORT: Keluarga yang terjejas akibat banjir di sini dan di Membakut menerima bantuan kewangan kecemasan sebanyak RM1,300 daripada kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata daripada jumlah itu, RM1,000 adalah daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan RM300 daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

Selain bantuan tunai, setiap keluarga yang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan menerima bantuan makanan.

Ketua Menteri berkata demikian selepas melawat PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, yang kini menempatkan 147 keluarga yang terdiri daripada 412 mangsa di sini hari ini.

AGIH: Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir menerima bantuan yang disampaikan Hajiji.

Tujuh PPS telah dibuka sejak banjir bermula pada 7 Mac, memberikan perlindungan kepada sejumlah 1,944 orang daripada 614 keluarga di sini.

Di PPS, Ketua Menteri menyampaikan bantuan dan berbual dengan mangsa banjir.

“Saya datang ke sini untuk berjumpa dengan mangsa-mangsa banjir sambil melihat sendiri keadaan di lapangan. Saya memberitahu mereka bahawa kerajaan memahami kesulitan mereka,” katanya.

Ketua Menteri juga melawat kawasan bandar, yang masih ditenggelami air, di mana beliau diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Mohd Nazri Ajun.

MESRA: Hajiji ditemani Shamsul menyantuni salah seorang ibu mangsa banjir bersama anaknya yang ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir semasa melawat ke pusat itu.

Hajiji telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membersihkan semua saluran air, terutamanya longkang-longkang untuk mengurangkan banjir pada musim hujan ini.

Ketua Menteri juga melawat PPS Dewan Kesenian Islam, Membakut, salah satu daripada empat PPS yang dibuka di daerah untuk memberikan bantuan serupa kepada mangsa banjir di sana.

PPS Membakut kini menampung kira-kira 278 keluarga yang terdiri daripada 836 mangsa.

Mengiringi Ketua Menteri adalah Setiausaha Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong, wakil rakyat dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

SEREMBAN SENTRAL BAKAL UBAH SEREMBAN JADI PUSAT BANDAR MODEN, SELESA

Projek pembangunan bersepadu Seremban Sentral yang akan dimajukan oleh Sunway Bhd bakal mengubah bandar Seremban yang lama menjadi pusat bandar …
Maklumat Lanjut

NEGERI SEMBILAN PERTAHAN CADANGAN PELUPUSAN ANJING LIAR

Kerajaan Negeri Sembilan mempertahankan keputusan melaksanakan pelupusan anjing liar yang dimulakan di kawasan majoriti Melayu demi menyelesaikan masalah umum. Menurut …
Maklumat Lanjut

PATI ‘KEPANASAN’ DISERBU, SANGGUP TERJUN SETINGGI ENAM METER

Nekad terjun dari platform setinggi enam meter dan bersembunyi di celah barang binaan antara gelagat pendatang asing tanpa asing (PATI) …
Maklumat Lanjut