HASIL JUALAN TENUN PAHANG MENINGKAT RM3.2 JUTA PADA 2024

PEKAN, 9 FEBRUARI 2025 : Hasil jualan produk tenun Pahang menunjukkan peningkatan pada tahun lalu iaitu sebanyak hampir RM3.2 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu sekitar RM2.9 juta.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Datuk ‘Ainu Sham Haji Ramli berkata, peningkatan hasil jualan tersebut adalah berikutan penerimaan dan sokongan rakyat yang menghargai keunikan kraf tersebut.

Katanya, peningkatan hasil jualan itu juga berikutan sokongan tidak berbelah bahagi dari Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dalam membangunkan industri Tenun Pahang Diraja.

“Ada peningkatan di situ.. majoritinya pasaran domestik. Penerimaan dan sokongan rakyat, orang kita menghargai keunikan kraf Malaysia sangat membantu.

“Itulah sebab Kraftangan Malaysia, seringkali kita ingin menambahkan lagi kempen dan juga ‘roadshow’ untuk memberi penerangan dan juga kempen untuk mengalakkan rakyat baik dari golongan pejawat awam mahupun swasta untuk menggunapakai produk kraf Malaysia.

“Macam contohnya dari segi tekstil mungkin baju korporatnya, untuk cenderahatinya, jadi luas penggunaan produk kraf. Dalam penggunaan harian, untuk digunakan di rumah, untuk hiasan dalaman dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Sesi Perjumpaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Bersama Penggiat Tenun Pahang Diraja bertempat di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD), Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Kampung Pulau Keladi, di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz mewakili Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang. Hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tenun Pahang Diraja, Dato’ Zuraida Mokhtar.

Dalam pada itu, Datuk ‘Ainu Sham berkata, Kraftangan Malaysia merekodkan nilai jualan sebanyak RM409.9 juta oleh hampir 7,000 usahawan berdaftar di seluruh negara pada tahun 2024.

Jumlah terbabit katanya meningkat dengan ketara berbanding pada tahun sebelumnya iaitu RM343 juta.

“Antara faktor berlaku peningkatan ialah sokongan padu rakyat Malaysia dan kerajaan untuk mengguna pakai produk kraf Malaysia,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas mengenai kewujudan produk kraf Malaysia tiruan di pasaran, Ainu Sham berkata, pihaknya telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan keaslian produk yang dihasilkan usahawan Kraftangan Malaysia.

Menurutnya lagi, usahawan ditawarkan untuk melalui proses penilaian dan pengelasan tahap dimana mereka kemudian akan dibekalkan dengan pelekat logo produk Kraftangan Malaysia yang asli.

“Bila ada logo ini dikira sebagai pengesahan keaslian produk Kraftangan Malaysia. Logo ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Kalau guna untuk produk lain, kita boleh ambil tindakan.

“Apabila ada pelekat logo ini, tidak timbul masalah produk tenun tidak asli. Sebenarnya ia menimbulkan keyakinan kepada pembeli. Tidak perlu was-was,”katanya lagi.

Selain itu, beliau memberitahu, terdapat beberapa inisiatif di bawah Kraftangan Malaysia yang memberi manfaat kepada belia yang berminat dengan industri ini untuk melanjutkan pelajaran secara formal peringkat sijil di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) mahupun di Kampus Institut Kraf Negara, Rawang.

“Sehingga kini, terdapat seramai 63 orang graduan telah menamatkan tempoh dua tahun peringkat Sijil Tenun Pahang Diraja di IKTPD, di sini, manakala 13 lagi masih dalam tempoh pembelajaran.

“Buat masa ini kita sedang giat menjalankan kempen ‘Jom Masuk IKTPD’ untuk pengambilan baru bagi sesi di sini bermula pada bulan Julai ini,” ujarnya lagi.

SUMBER: PAHANGMEDIA

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut