Selepas lebih 35 tahun terbiar, akhirnya Surau Taman Rasah Jaya kembali ‘hidup’ dengan pelbagai aktiviti keagamaan diusahakan penduduk setempat.
Menurut Pengerusi Surau Taman Rasah Jaya, Ahmad Kamal Bahrin Abdul Rahman berkata, hasrat mengimarahkan semula surau sudah lama sebelum penduduk sepakat mengumpul dana untuk tujuan baik pulih. Mereka telah lama berjuang membangunkan semula surau ini meskipun terdapat banyak halangan dan dugaannya, namun penduduk setempat tetap berusaha dan bergotong-royong membersihkan kembali surau yang lama terbiar. Keadaan bangunan asal surau ini sangat menyedihkan dengan bumbung rosak, dipenuhi rumput serta lalang, struktur bangunan pula banyak pecah.
Berkat usaha dan kerjasama semua pihak akhirnya mereka berjaya melakukan baik pulih bangunan dengan kos RM50,000 hasil sumbangan orang ramai serta bantuan kerajaan negeri. Surau ini akan digunakan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan terutama kelas agama dan fardu ain. Penduduk setempat teruja dengan pembukaan surau tersebut lebih-lebih lagi menjelang Ramadan yang akan tiba pada Mac nanti.
Pihaknya juga bertuah kerana ramai datang membantu ‘menghidupkan’ surau ini memandangkan surau ini masih tidak mempunyai sumber kewangan kukuh. Ahli Jawatankuasa (AJK) surau turut mendapatkan bantuan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan kerajaan negeri serta sokongan masyarakat melalui sedekah dan infaq bagi memastikan surau ini sentiasa aktif menjalankan pelbagai aktiviti.
Pihaknya berharap surau ini dapat menjadi nadi komuniti dan membantu memperkukuh ikatan silaturahim sesama penduduk. Dengan adanya pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, ia bukan sahaja mengimarahkan surau, tetapi juga memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan penduduk.
Sumber: Sinar Harian