KUANTAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang menyerbu kilang pemprosesan buangan terjadual sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram di Mukim Bebar, Pekan, di sini semalam.
Dalam Operasi Bersepadu berkenaan turut disita sebanyak 54 unit buangan terjadual.
Menurut kenyataan JAS, premis tersebut disyaki telah menjalankan pemprosesan buangan terjadual sisa elektronik melalui kaedah peleburan hingga menyebabkan berlakunya pencemaran udara di sekitar kawasan jalan utama Lebuhraya Kuantan-Segamat.
Katanya, seorang pekerja warga asing telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan siasatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan sabit kesalahan penjara mandatori tidak lebih lima tahun dan denda maksimum hingga RM10 juta
jika sabit kesalahan.
Operasi turut disertai agensi penguatkuasaan membabitkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JIM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebarang aduan pencemaran boleh terus dilaporkan ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau emel keΒ aduan_k@doe.gov.myΒ dan melalui portal e-aduan JAS diΒ http://eaduan.doe.gov.my.
SUMBER: BERITA HARIAN