RAMPAS: Bot pukat tunda yang ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti penjualan minyak diesel bersubsidi nelayan.
KOTA KINABALU: Sebuah bot pukat tunda ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti penjualan minyak diesel bersubsidi nelayan tanpa permit di kawasan laut Safma, di sini, Jumaat lalu.
Bot pukat tunda itu ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu ketika membuat rondaan di kawasan berkenaan, kira-kira jam 8 malam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemukan beberapa tangki yang diubah suai berisi minyak diesel.
Katanya, pasukan PPM mendapati dua tangki minyak telah diubah suai dengan kapasiti 1,000 liter yang berisi minyak diesel kira-kira 2,000 liter.
Manakala empat lagi tangki minyak katanya, turut diubah suai dengan kapasiti 600 liter yang berisi minyak diesel 2,400 liter.
“Dua tangki minyak turut ditemukan telah diubah suai dengan kapasiti 800 liter berisi minyak diesel 1,600 liter,”katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, pasukan serbuan turut merampas peralatan untuk menjalankan aktiviti penjualan minyak berkenaan.
“Penama juga gagal mengemukakan sebarang permit membeli, membawa dan memasarkan minyak diesel bersubsidi nelayan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Jumlah keseluruhan rampasan minyak diesel sebanyak 6,000 liter yang dianggarkan bernilai RM163,500,” katanya.
Sementara itu, Nazri berkata, pasukan serbuan kemudian membuat tangkapan dan rampasan seterusnya telah dibawa ke Pangkalan PPM Kota Kinabalu untuk tindakan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



