Pada 1 Januari dalam tahun 2008, Kuala Terengganu secara rasminya menjadi sebuah bandar raya di negara ini. Bandar ini turut dikenali sebagai Bandar Raya Warisan Pesisir Air bersesuaian dengan lokasinya yang terletak di pesisir sungai dan Laut China Selatan. Dengan perisytiharan tersebut, Kuala Terengganu menjadi bandar raya pertama di Pantai Timur dan bandar raya ke-12 di negara ini. Pengisytiharan tersebut dilakukan oleh Pemangku Raja Terengganu, KBDYMM Tengku Mohammad Ismail Al Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin dalam istiadat pengurniaan watikah perisytiharan dan surat cara pelantikan Datuk Bandar di Istana Maziah, Kuala Terengganu. Bandaraya Kuala Terengganu kini melalui satu transformasi utama di bawah projek pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu dan menyaksikan ibu negeri Terengganu itu bakal dibangunkan sebagai sebuah Bandar Warisan Pesisir Air dan pintu gerbang pelancongan antarabangsa bagi Pantai Timur.
Sumber: Arkib Negara Malaysia