BENTONG, 19 DISEMBER 2024 : Pembinaan Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi yang diuruskan oleh RISDA Plantation Sdn. Bhd. bertujuan untuk menambahkan pendapatan pekebun kecil getah.
Ia juga bertujuan untuk mengurangkan kadar pengimportan lateks dari luar negara bagi penggunaan kilang tempatan yang mengeluarkan bahan berasaskan getah asli.
Timbalan Perdana Menteri, YAB. Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini sebanyak lima buah kompleks seumpama itu telah dibina di seluruh negara.
“Saya ucapkan tahniah kepada pengurusan RISDA kerana setakat ini telah mengoptimumkan pusat pengoperasian lateks ini.
“Lima (pusat) di seluruh negara dan saya telah meminta meminta agar pusat-pusat ini dibina lebih banyak lagi.
“Mungkin untuk 2025 ini kota harap dapat dibina 10 lagi,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan selepas Majlis Perasmian Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi, di sini, hari ini.
Turut hadir Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB. Dato’ Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi RISDA, YB. Tuan Haji Manndzri Haji Nasib dan Ketua Pengarah RISDA, YB. Encik Zainal Azni Zulkifli.
Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi mampu menampung penyimpanan sehingga 30 metrik tan lateks dalam satu-satu masa.
YAB. Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri KKDW turut meminta usahawan dalam kalangan pekebun kecil getah turut diwujudkan.
“Setakat ini skim mewujudkan para usahawan ini telah dilakukan. Walaupun saya berpuas hati dengan jumlah yang telah diwujudkan tetapi saya mahu ianya dipertingkatkan dan kursus-kursus yang berkaitan mesti juga dilakukan melalui TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) dan Teknousahawan yang ada di bawah RISDA dan KKDW agar penarafan ini dapat dilakukan,” ujarnya.
SUMBER: PAHANGMEDIA