VIDEO TULAR BUKAN PEMBERIAN TANAH KEBUN DURIAN TAPI PENYERAHAN SKIM TANAH RAKYAT – EXCO

KUANTAN: Video yang dikaitkan dengan pemberian tanah kebun durian di Pahang kepada pesara tentera adalah tidak benar, sebaliknya ia penyerahan hak milik Skim Tanah Rakyat (STR) kepada penduduk Temerloh.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kandungan video itu, adalah majlis penyerahan geran kepada lebih 600 peserta STR yang telah dimuat naik di media sosial sebelum ini.

Beliau yang hadir pada majlis berkenaan bagi mewakili Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyerahan itu dibuat, setelah kerajaan negeri menerima permohonan STR daripada penduduk daerah tersebut.

“Justeru, apa yang didakwa individu terbabit mungkin dia salah faham atau tidak tahu cerita sebenar,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Sementara itu, Pengarah Tanah dan Galian Pahang, Datuk Hamdan Hussin memaklumkan video berkenaan membabitkan penyerahan hak milik STR bagi daerah Temerloh pada 1 Disember lalu.

Beliau berkata, majlis yang disempurnakan oleh Syed Ibrahim itu melibatkan penyerahan STR bagi penduduk Kampung Sokmek, Kampung Kuala Kaung, Kampung Sungai Juru, Kampung Sungai Jenalik, Kampung Sungai Jentar, Kampung Pangsenam dan Kampung Bintang.

Terdahulu tular satu video berdurasi hampir dua minit dengan hantaran mendakwa kerajaan Pahang memberikan tanah kebun durian yang diusahakan oleh pekebun sebelum ini kepada pesara tentera seluas dua ekar seorang.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

LEBIH 90 PERATUS MYKIOSK DI NEGERI SEMBILAN SUDAH DIISI

Lebih 90 peratus kios MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Sembilan telah diisi dengan peniaga …
Maklumat Lanjut

TEMA HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA 2025

MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025. RASIONAL TEMA Cerminan visi kerajaan …
Maklumat Lanjut

𝗝𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗜 𝗠𝗔𝗞𝗟𝗨𝗠𝗔𝗧 𝗕𝗔𝗡𝗞 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗠𝗔𝗡𝗔-𝗠𝗔𝗡𝗔 𝗣𝗜𝗛𝗔𝗞

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) JANGAN BERI …
Maklumat Lanjut