LEMAS: Jenazah kanak-kanak terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
KOTA BELUD: Kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ketika mandi di sungai Kampung Piasau, di sini, semalam ditemukan lemas, pagi tadi.
Jasad kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama orang kampung pada jarak 600 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada jam 8.36 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata pasukan operasi bersama agensi penyelamat lain memulakan operasi SAR hari kedua, pada jam 8.10 pagi.
Katanya, seramai 14 anggota bersama agensi lain serta penduduk kampung menjalankan operasi pencarian dengan kaedah surface rescue dan selaman.
“Mangsa berjaya ditemukan oleh pasukan SAR bersama orang kampung pada jarak 600 meter dari lokasi mangsa dikhuatiri lemas.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, susulan penemuan mayat mangsa terbabit, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 pagi.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang pada Sabtu, mangsa dipercayai hilang ketika melakukan aktiviti mandi-manda di sungai berkenaan bersama beberapa rakannya.
Berikutan itu, BBP Kota Belud yang menerima panggilan kejadian itu pada 2.41 petang telah menggerakkan operasi mengesan kanak-kanak terbabit.
Operasi SAR turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan penduduk kampung.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online