PERLIS, JOHOR DAN PAHANG CATAT PENINGKATAN TERTINGGI INDEKS KESEJAHTERAAN RAKYAT MALAYSIA 2023

KUALA LUMPUR: Perlis, Johor dan Pahang mencatat peningkatan tertinggi dalam Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2023 peringkat negeri, manakala Sabah, Wilayah Persekutuan serta Pulau Pinang merekodkan penurunan terbesar.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata Sarawak dan Negeri Sembilan turut mencatat peningkatan dalam IKRM 2023 masing-masing sebanyak 0.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Tiga negeri dengan peningkatan tertinggi pada 2023 berbanding 2022 ialah Perlis (1.4 peratus) diikuti Johor (1.0 peratus) dan Pahang (0.5 peratus), manakala Terengganu kekal tidak berubah.

“Lapan negeri pula mencatatkan penurunan indeks bagi tempoh sama. Tiga negeri yang merekodkan penurunan terbesar ialah Sabah (-2.2 peratus), Wilayah Persekutuan (-0.8 peratus) dan Pulau Pinang (-0.7 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Laporan IKRM 2023 yang bertujuan mengukur tahap kesejahteraan rakyat negara ini dari perspektif ekonomi dan sosial.

“Laporan yang diterbitkan hari ini adalah penerbitan keenam dikeluarkan DOSM. Mulai tahun ini, Laporan IKRM peringkat negeri diterbitkan secara berasingan daripada Laporan IKRM.

“IKRM meliputi dua subkomposit, iaitu kesejahteraan ekonomi dan kesejahteraan sosial,” katanya.

Beliau berkata, subkomposit kesejahteraan ekonomi merangkumi lima komponen utama, iaitu pengangkutan, komunikasi, pendidikan, pendapatan dan pengagihan, serta persekitaran kerja.

“Subkomposit kesejahteraan sosial pula meliputi sembilan komponen, iaitu perumahan, hiburan dan rekreasi, keselamatan awam, penyertaan sosial, tadbir urus, kebudayaan, kesihatan, alam sekitar dan keluarga.

“Terdapat 70 indikator bagi IKRM dan 63 indikator bagi IKRM peringkat negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir memaklumkan dari segi subkomposit kesejahteraan ekonomi, tiga negeri mencatat peningkatan mata indeks pada 2023 berbanding 2022, manakala semua negeri lain

merekodkan penurunan.

“Tiga negeri mencatat penurunan terbesar ialah Sabah dengan penurunan 3.4 mata indeks kepada 126.2 mata pada 2023.

“Ini diikuti Kedah dan Negeri Sembilan dengan masing-masing menurun 1.5 mata indeks dan 1.1 mata indeks kepada 126.5 dan 125.2 mata dalam tempoh sama.

“Keadaan ini didorong oleh penurunan dalam komponen pengangkutan dan persekitaran kerja bagi ketiga-tiga negeri itu,” katanya.

Mohd Uzir berkata, lapan daripada 14 negeri menunjukkan penurunan mata indeks dari perspektif subkomposit sosial.

“Tiga negeri yang mencatatkan penurunan mata indeks tertinggi ialah Sabah dengan penurunan 2.1 mata indeks kepada 109.8 mata pada 2023, diikuti Wilayah Persekutuan yang menurun 1.1 mata indeks kepada 110.3 mata, dan Pulau Pinang dengan penurunan 0.7 mata indeks kepada 113.6 mata pada 2023.

“Penyumbang utama kepada penurunan indeks ini ialah komponen alam sekitar, tadbir urus, keselamatan awam dan perumahan,” katanya.

SUMBER: BH

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut