KUANTAN: Bekalan kelapa di Pahang tidak mencukupi untuk menampung keperluan sehingga berlaku kenaikan harga santan pekat yang mencecah RM16 sekilogram (kg) di pasaran ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Sim Chon Siang, berkata kekurangan bekalan kelapa itu mula dikesan pada Ogos lalu sehingga bulan ini.
Beliau berkata, setakat ini, bekalan kelapa di negeri itu masih belum lagi pulih sepenuhnya dan pelbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikannya.
“Sebiji kelapa sekarang dijual pada harga RM3.50 sebab diimport dari Indonesia kerana bekalan tidak cukup di negara ini.
“Bagi sekilogram santan pekat mungkin memerlukan empat biji kelapa, keuntungan hanya RM2 bagi setiap sekilogram.
“Kita tidak import kelapa dari Thailand kerana negara itu juga menghadapi masalah kekurangan bekalan. Kenaikan harga santan pekat bukan sahaja berlaku di Jerantut, malah di seluruh Pahang. Oleh itu, kerajaan negeri sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan kelapa bulan ini,” katanya.
Chon Siang berkata demikian ketika mencelah pada sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2025 oleh Zuridan Mohd Daud (PAS-Damak) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Pada sesi perbahasan itu, Zuridan berkata, peniaga santan di Jerantut mengeluh dengan kenaikan harga kelapa.
Katanya, kenaikan itu menyebabkan harga santan pekat mencecah sehingga RM16kg yang memberi kesan terhadap pengguna.
SUMBER: BH