BANJIR: Kawasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang dilanda banjir kilat. (Gambar perkongsian netizen).
PENAMPANG: Hujan lebat sejak jam 12 tengah hari menyebabkan beberapa kawasan di sekitar daerah ini dilanda banjir kilat.
Penampang. (Gambar perkongsian netizen).
Antara kawasan yang terjejas termasuklah kawasan Bundusan yang membabitkan kawasan perumahan berhampiran, Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Penampang dan sekolah termasuk SJK(C) Yue Min Penampang serta beberapa kawasan perniagaan berhampiran.
Turut terjejas kawasan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) yang mana didakwa terjejas kali pertama selepas dipercayai disebabkan masalah perparitan.
Bagi kawasan ibu negeri, Kolombong menuju Inanam juga dilaporkan terjejas banjir kilat bagaimanapun laluan lalu lintas masih boleh digunakan walaupun berlaku sedikit kesesakan.
Setakat jam 2.30 petang banjir kilat dilihat sudah berada pada paras lutut dan menenggelamkan hampir setengah bahagian paras kenderaan kecil seperti sedan dan kompak.
Keadaan hujan belum reda dan penduduk serta pengguna jalan di kawasan berhampiran dinasihat lebih peka dan berhati-hati selain mengambil langkah persediaan berpindah ke kawasan selamat sekiranya perlu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di negeri ini meliputi kawasan Pedalaman termasuk Sipitang, Tenom dan Beaufort.
Turut terlibat kawasan Pantai Barat iaitu Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud serta Sandakan, Telupid, Beluran Kudat sehingga 4:00 petang Jumaat.
MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah semasa dihubungi berkata, pihaknya sedang menggerakkan anggota bagi menjalankan pemantauan di kawasan berpotensi (hotspot) banjir.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online