PENAMPANG: Empat lelaki yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan polis di Jalan Kota Kinabalu – Penampang, berhampiran SMK Bahang, di sini, malam tadi.
Semua mereka ditahan anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam Op Mabuk pada 11 malam hingga 4 pagi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu didapati gagal ujian saringan pernafasan.
“Sebanyak 70 kenderaan diperiksa dan empat lelaki ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Semua individu terbabit dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pemandu menjalani ujian pernafasan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Kota Kinabalu – Penampang, berhampiran SMK Bahang, Penampang. – Foto/IPD Penampang
Sammy berkata, ketika Op Mabuk itu dijalankan, polis turut mengeluarkan 19 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Dalam pada itu juga, seramai 75 individu diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan,” katanya.
Operasi kali ini diketuai oleh Ketua BSPT Penampang, Inspektor Rozami Ahmad dengan dibantu oleh seorang pegawai dan lapan anggota.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: INFO X