Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sembilan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri Sembilan telah menganjurkan Pelancaran Taman Angkat AMANITA peringkat Kontinjen Negeri Sembilan bertempat di perkarangan Masjid Dato’ Sheikh Taman Politeknik, Port Dickson, pada 26 Oktober 2024.
AMANITA merupakan inisiatif yang telah diperkenalkan dan dilaksanakan di bawah National Blue Ocean Strategy (NBOS) pada tahun 2012. Pada peringkat awal, AMANITA dilaksanakan adalah bertujuan untuk mendekatkan golongan wanita khususnya suri rumah dengan membina perhubungan yang baik serta menjadikan wanita sebagai mata dan telinga kepada pihak polis dalam usaha mencegah jenayah di kawasan kejiranan dan persekitaran.
Pada tahun 2018 semua inisiatif di bawah NBOS dimansuhkan namun, AMANITA masih diteruskan oleh PDRM kerana inisiatif ini memberi impak positif kepada masyarakat yang turut sama memainkan peranan dalam usaha menjaga dan memastikan kesejahteraan komuniti. AMANITA merupakan perkongsian pintar (smart partnership) antara pihak PDRM dengan golongan wanita dalam usaha mencegah jenayah khasnya di kawasan kejiranan. Salah satu usaha untuk meningkatkan keupayaan dan keberkesanan AMANITA maka, inisiatif ini diperkemaskan dengan menjadikan golongan wanita sebagai rakan AMANITA.
Antara objektif Taman Angkat AMANITA PDRM ini ialah bagi mewujudkan kerjasama lebih erat bersama golongan wanita, memudahkan penyaluran maklumat oleh komuniti kepada PDRM, meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadapat PDRM, dan mendidik masyarakat agar berpengetahuan dan mempunyai kesedaran dalam pencegahan jenayah demi kesejahteraan komuniti.
Program bermula seawal jam 8.00 pagi dan mendapat sambutan baik oleh penduduk setempat. Pelbagai pengisian aktiviti yang dijalankan seperti senamrobik, reruai pameran agensi, jualan produk dan makanan, ceramah dan pertandingan mewarna untuk kanak- kanak.
Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan YDH DCP Dato’ Ahmad Dzaffir bin Mohd Yussof. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Muhammad Idzam bin Dato’ Hj Jaafar dan Ketua Polis Daerah Port Dickson SUPT Maslan bin Udin serta Pengerusi KRT Taman Politeknik Encik Abdul Jaafar bin Abdul Gaffor.