IBU BAPA PERLU LUANG LEBIH MASA, INTERAKSI BERSAMA ANAK

SEREMBAN: Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan ibu bapa agar meluangkan lebih masa dan berinteraksi bersama anak-anak bagi memupuk hubungan lebih harmoni.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) berkata tindakan itu juga dapat membantu menangani isu kesihatan mental seperti kemurungan yang boleh berlaku kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

“Masalah kemurungan naik dua kali ganda, sebagai individu kita perlu lihat bagaimana hendak menanganinya… lihat anak-anak terutamanya golongan muda, semua dengan handphone (telefon bimbit). Mereka (anak-anak) tidak dengan kita tetapi (berada) di alam maya.

“Sebagai ibu bapa, lihat juga bagaimana kita meluangkan masa dengan anak-anak. Kita juga dengan handphone (dan) tiada interaksi dengan mereka,” katanya ketika berucap pada Program Cahaya Dhuha Sejahtera Jiwa di Masjid Sendayan di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Wan Azizah bersama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat sunat dhuha dan bacaan Al-Mathurat Sughra di masjid itu.

Sementara itu, Wan Hasni berkata program terbabit diadakan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut 10 Oktober setiap tahun sebagai usaha global untuk meningkatkan kesedaran isu berkaitan kesihatan mental.

Beliau berkata semua pihak dan organisasi perlu memahami dan menyokong isu berkaitan kesihatan mental serta berusaha menghapuskan stigma yang sering menghalang individu daripada mendapatkan bantuan.

“Semua pihak perlu menyedari bahawa masalah kesihatan mental tidak mengenal usia, latar belakang, atau status sosial, justeru usaha serta sokongan semua pihak amat diperlukan,” katanya. – BERNAMA

4 Idea Meluangkan Masa Bersama Anak Tanpa Menggunakan Peranti

Peranti sudah menjadi salah satu keperluan gaya hidup masa kini. Tidak dinafikan si kecil semuda usia dua tahun ada sesetengahnya sudah memiliki gajet terkini di pasaran untuk digunakan sendiri semasa dijaga oleh kedua orang tuanya. Tidakkah ini suatu perkembangan yang tidak sihat? Bukan sahaja anak-anak menjadi tidak mahir bersosial, malahan mereka terlalu taksub kepada peranti dan boleh sahaja mengamuk apabila peranti ini diambil. Ini juga membina jurang perhubungan antara kedua ibu bapa dan anak semakin menjauh. Untuk itu, ikuti cadangan empat aktiviti boleh dicuba untuk mengurangkan kebergantungan kepada peranti buat si kecil.

  1. Aktiviti menyelenggara dan kerja rumah

Banyak sahaja aktiviti di kediaman yang boleh dilakukan bersama si kecil untuk mengalih perhatian mereka dari alat peranti. Membasuh kereta, menyidai pakaian, mengemas ruang kediaman juga bercucuk tanam di laman kediaman antara yang boleh anda cuba. Apatah lagi aktiviti yang melibatkan air seperti menyiram pokok, pasti ralit si kecil apabila di beri peluang melakukan tugas sedemikian. Tidak keterlaluan jika anda mahu memberikan ganjaran kecil sesudah mereka menyempurnakan tugasan yang diberi.

  1. Riadah di taman rekreasi

Pilih sukan yang anda gemari untuk lakukan dan libatkan si kecil anda bersama. Untuk lebih menarik perhatian mereka lakukan di taman-taman rekreasi berdekatan kediaman anda. Jogging, yoga, mendaki bukit atau berbasikal, ia bukan sahaja baik untuk kesihatan, ia juga baik untuk perhubungan. Sentiasa berikan cabaran baharu untuk si kecil seperti lingkungan masa, atau bertanding di antara mereka siapa lebih pantas melengkapkan satu pusingan. Sediakan hadiah kecil seperti snek sihat untuk mereka yang berjaya melengkapkan tugasan yang diberi.

  1. Lawatan ke pameran dan galeri seni

Terdapat banyak acara seni yang berlangsung di bandar-bandar besar, tidak terhad hanya di Lembah Klang, silih berganti mengambil tempat sepanjang tahun. Lebih menarik lagi sebahagian darinya berlangsung secara percuma tanpa perlu yuran kemasukan dan berjalan dalam tempoh yang lama. Tingkatkan pengetahuan kesenian anda dan anak-anak dengan melawat acara-acara sebegini. Kenali lebih banyak karya pelukis terkenal dan baru tanah air dan berilah sokongan kepada perkembangan industri seni halus negara. Boleh cuba juga melawat muzium berdekatan untuk menambahkan pengetahuan sejarah anda dan si kecil.

  1. Pelbagai bengkel aktiviti

Untuk mereka yang berkongsi minat yang sama dengan anak, carilah bengkel-bengkel aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan atau perusahaan tertentu seperti pengucapan umum, bengkel kraftangan, kelas menjahit atau kelab sukan. Boleh cuba juga menjadi sukarelawan yang dapat memupuk pertumbuhan sifat positif buat anak-anak supaya kita menjadi lebih menghargai pada nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan.

Sumber: https://www.darlie.com.my/ms/oral-health/all-tips/4-idea-meluangkan-masa-bersama-anak-tanpa-menggunakan-peranti

Artikel/Berita Terkini

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut