Dalam kehidupan ini, kita tidak dapat lari daripada berdepan dengan perbezaan, sama ada dari segi pandangan, pendapat atau cara hidup. Perbezaan ini adalah satu lumrah yang menjadi warna-warni dalam masyarakat. Namun, yang lebih penting adalah bagaimana kita menghadapi perbezaan ini dengan bijak dan berhemah. Prinsip “berpada-pada dalam perbezaan” adalah satu sikap yang sangat penting untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat kita terpelihara.
Managing Cultural Diversity : Inclusive and Exclusive Approach (Danhimol, 2019), menyatakan bahawa perbezaan boleh menjadi punca konflik jika tidak diuruskan dengan baik. Kepelbagaian di dalam masyarakat dibentuk melalui pengaruh global, perubahan nilai moral, migrasi dan pilihan individu ke atas sesuatu budaya dan adat. Masyarakat yang mampu menghormati dan menerima perbezaan akan lebih cenderung untuk mengekalkan kestabilan sosial. Di dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, sikap berpada-pada dalam menghadapi perbezaan amat penting untuk memelihara kesejahteraan negara.
Sikap berpada-pada ini bukan bermaksud kita perlu mengorbankan prinsip atau nilai-nilai yang kita pegang. Sebaliknya, ia menekankan pentingnya kebijaksanaan dalam menyatakan pandangan dan menghargai pendapat orang lain. Contohnya, apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat dalam perbincangan mengenai isu-isu semasa, adalah penting untuk kita mengamalkan sikap menghormati pandangan pihak lain, walaupun kita mungkin tidak bersetuju. Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan perdebatan yang tidak sihat dan memastikan hubungan kekeluargaan dan persahabatan kekal harmoni.
Nilai ini juga sangat berkait rapat dengan salah satu Nilai Teras Keselamatan yang disebut dalam Dasar Keselamatan Negara (DSN) 2021-2025, iaitu Kesepaduan Nasional. Dasar ini menggariskan bahawa perpaduan masyarakat, hubungan berbilang kaum dan agama, sikap sensitiviti dan toleransi adalah kunci kepada kestabilan negara dan ia perlu dijaga dengan rapi. Sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat, termasuk dalam menangani perbezaan pandangan dan pendirian adalah amat penting. Kestabilan dan keselamatan negara bergantung kepada keseimbangan dalam hubungan antara pelbagai kelompok dalam masyarakat.
Perbezaan pendapat dan ideologi politik mahupun agama juga adalah satu contoh yang kerap berlaku di Malaysia. Tidak kira dari parti dan fahaman mana seseorang itu datang, adalah penting untuk setiap individu mengamalkan sikap berpada-pada dalam perbincangan. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu menghindari dari menyebarkan fitnah atau berita palsu yang boleh memburukkan keadaan. Berpada-pada dalam perbezaan politik dan pegangan bukan sahaja membantu mengekalkan suasana yang harmoni tetapi juga memastikan bahawa perbincangan yang diadakan adalah membina dan berlandaskan fakta, bukan emosi semata-mata.
Tuntasnya, berpada-pada dalam menghadapi perbezaan adalah sikap yang penting untuk kita amalkan dalam kehidupan seharian. Ia membantu kita menjaga hubungan baik dengan orang lain dan mengelakkan konflik yang tidak perlu. Dalam konteks negara pula, sikap ini menyumbang kepada keharmonian sosial yang menjadi asas kepada kestabilan dan keselamatan negara. Sikap ini perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat, tidak kira dalam kalangan keluarga, di tempat kerja mahupun dalam perbincangan mengenai isu-isu semasa. Akhirnya, kita semua bertanggungjawab untuk menjaga keharmonian negara dengan mengamalkan sikap berpada-pada dalam segala perbezaan yang kita hadapi.
Dengan menghayati nilai ini, kita bukan sahaja dapat hidup dalam suasana yang lebih aman dan harmoni. Perbezaan memang tidak mungkin mampu dielakkan, tetapi dengan sikap yang betul, ia boleh menjadi satu kekuatan yang menyatukan kita semua.
Disediakan oleh: Mior Ahmad Shah