KILANG KOPERASI BAJA HARAPAN BEKALKAN BAHAN BERKUALITI MESRA ALAM SEKITAR

PENGELUARAN: Phoong diiringi Steve menyaksikan secara langsung proses pengeluaran baja yang inovatif di kilang Koperasi Baja Harapan

LANTIK: Phoong melantik Koperasi Baja Harapan Sabah Berhad sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Sabah Tahun 2023.

SANDAKAN: Kilang Koperasi Baja Harapan Sabah Berhad, Koperasi Pertama yang mempunyai Kilang Baja Terbesar di Malaysia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah dari luar, tetapi juga membantu memelihara alam sekitar.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, Koperasi Baja Harapan Sabah Berhad pakar dalam menghasilkan produk baja secara OEM dan menyediakan baja mengikut formula khusus yang dikehendaki pelanggan.

“Selama bertahun-tahun, koperasi ini telah membina kerjasama kukuh dengan estet besar, syarikat multinasional serta syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Koperasi Baja Harapan juga diiktiraf sebagai salah satu kilang koperasi pemprosesan baja berkualiti tinggi dan mampan di Malaysia, menggunakan tenaga hijau serta pematuhan amalan Enviromental, Social and Goverance (ESG).

“Pada masa sama, koperasi ini menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuklah latihan untuk pelbagai industri dan perkhidmatan perundingan pertanian, bagi memenuhi keperluan pelanggan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan ke Kilang Koperasi Baja Harapan Sabah Berhad sebagai sebahagian daripada pengisian Program Lawatan Kilang Tempatan selain memperkasakan sektor keusahawanan di Sabah.

Rombongannya disambut Pengerusi Koperasi Steve Lee serta barisan Anggota Lembaga Koperasi dan pihak pengurusan Koperasi Baja Harapan Sabah Berhad.

Semasa lawatan ini, YB. Menteri telah diberi penerangan dan menyaksikan secara langsung proses pengeluaran baja yang inovatif di kilang, terletak di Jalan Baru Sapi, Sandakan, Sabah.

Sepanjang lawatan ini, perbincangan tertumpu kepada peranan penting kilang tempatan dalam memacu pembangunan ekonomi Sabah.

Phoong turut teruja dengan inisiatif Koperasi Baja Harapan menggunakan produk tempatan yang bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah dari luar, tetapi juga membantu memelihara alam sekitar.

“Sabah mempunyai potensi yang besar, melalui kerjasama dengan industri tempatan seperti Koperasi Baja Harapan Sabah Berhad yang dapat membentuk ekosistem industri yang berdaya tahan, kompetitif, dan mampan.

“Matlamat kita adalah untuk menjadikan Sabah pemain utama dalam ekonomi Malaysia melalui inovasi dan kecemerlangan di semua sektor,” katanya.

Pada masa sama katanya, lawatan ini menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan industri tempatan untuk memperbaiki infrastruktur, menyelaraskan proses, serta membuka peluang ekonomi baru.

“Ini secara langsung akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Koperasi Baja Harapan Sabah Berhad juga menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui ECOFARM UMS, untuk menjalankan penyelidikan dalam menghasilkan baja berkualiti tinggi.

“Kolaborasi ini membolehkan pemindahan pengetahuan dan teknologi, dengan menggabungkan kepakaran akademik dengan pengalaman industri,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu akan menerokai inovasi dalam penghasilan baja, memberikan manfaat kepada sektor pertanian serta memastikan produk yang dihasilkan memenuhi standard tertinggi dan memenuhi keperluan semasa.

“Kilang Koperasi Baja Harapan Sabah Berhad juga, dilengkapi dengan mesin berteknologi tinggi serta terkini bagi memastikan setiap proses pengeluaran dijalankan dengan ketepatan dan efisiensi maksimum.

“Inovasi ini tidak hanya meningkatkan kualiti produk, tetapi juga mempercepatkan proses pengeluaran, membolehkan koperasi tersebut memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih efektif. “Dengan penggunaan teknologi canggih ini,

Koperasi Baja Harapan Sabah Berhad berkomitmen untuk menghasilkan baja yang berkualiti tinggi dan mampan (sustainable), selaras dengan visi Koperasi Baja Harapan untuk menyokong pertanian yang lestari,” katanya.

Katanya, Koperasi Baja Harapan Sabah Berhad juga menghasilkan baja untuk buah, sayur, dan baja organik.

“Koperasi ini menawarkan formula baja yang sangat efektif, termasuk PhosMagB Booster untuk pembungaan sawit dan NK Booster untuk meningkatkan berat serta kualiti buah sawit.

“Produk baja dari koperasi ini, mampu memberikan penyebaran nutrisi yang lebih seragam ke dalam tanah, membantu tanaman menyerap nutrien dengan lebih efisien, dan menjadikannya lebih tahan berbanding baja lain,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber:  Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PENDUDUK BANTAH ‘PROJEK HARAM’ PUSAT PERLINDUNGAN ANJING LIAR

Sebuah pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tanah rizab kerajaan di …
Maklumat Lanjut

PENIAGA RUGI RM677,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

Seorang peniaga makanan sejuk beku di Nilai mengalami kerugian lebih RM677,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan atas talian dipercayai …
Maklumat Lanjut

PROGRAM COMMUNITY BASED SECURITY MANAGEMENT (CBSM) BERSAMA IPD JELEBU

3 Julai 2025: Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk melaksanakan program bersama Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah …
Maklumat Lanjut