Menurut Perunding Pergigian Pediatrik Pusat Perubatan MSU (MSUMC), Prof Dr Noraini Nun Nahar Yunus, berkata banyak manfaat yang diperoleh apabila seseorang itu senyum.
Menurut beliau, apabila seseorang tersenyum, kelenjar pada bahagian muka akan mengeluarkan hormon semula jadi, iaitu endorphin atau turut dikenali sebagai hormon gembira.
Hormon itu yang akan membuatkan individu itu berasa gembira, senang, kurang rasa takut atau tidak selesa.
“Senyuman itu sendiri seperti satu pantulan kerana ia akan secara automatik membuatkan orang di sekeliling turut tersenyum apabila nampak kita senyum,” katanya.
Mampu 50 kali sehari
Bagaimanapun, mereka yang sentiasa berada dalam keadaan positif atau yang selalu dalam suasana ceria, berkemungkinan mampu senyum sehingga 50 kali sehari.
Namun seperti kita sedia maklum, ada individu yang memang dilahirkan dengan raut wajah sentiasa tersenyum dan mereka ini antara individu yang sentiasa berada dalam keadaan sihat kerana pengeluaran endorphin.
Keadaan mereka juga sama seperti individu yang sering bersenam di gimnasium apabila sering berasa gembira, puas dan berasa sentiasa sihat apabila dapat melakukan senaman.
Apabila badan merasa sihat, ia akan membuatkan seseorang itu bertenaga dan tidak senang untuk merasa marah.
Senyum juga meningkatkan sistem imuniti.
Beliau berkata, kajian turut menunjukkan dengan sentiasa tersenyum juga dapat membantu mengurangkan tekanan perasaan seseorang.
Menariknya, individu yang mempunyai penyakit tekanan darah tinggi turut digalakkan sentiasa tersenyum kerana ia dapat membantu menurunkan tekanan darah yang dialami.
Hormon endorphin juga boleh mempertingkatkan sistem imuniti dalam tubuh badan seseorang sekali gus lebih berkesan melawan pesakit. Endorphin dikeluarkan oleh kelenjar pituitari di otak.
Selain endorphin, turut dikeluarkan adalah hormon dopamine yang dapat meningkatkan lagi antibodi di dalam badan seseorang.
Manfaat untuk kesihatan
Justeru katanya, sempena Hari Senyum Sedunia yang disambut setiap Oktober semua orang digalakkan untuk senyum.
Katanya, walaupun senyum masih memerlukan kekuatan otot pipi, namun ia tidak memerlukan banyak pergerakan iaitu cuma perlu menggerakkan pipi sahaja.
Banyak otot yang diperlukan untuk senyum, otot utama ialah otot pipi, zygomaticus major.
Walaupun kita tidak boleh memaksa seseorang untuk senyum, namun jelas dengan hanya senyum, banyak manfaat yang boleh diperoleh dari sudut kesihatan.
Malah, senyum itu juga satu sedekah. Jadi tidak perlu menunggu Hari Senyum Sedunia atau untuk merasa gembira baru tersenyum, hanya perlu senyum selalu demi kesihatan dan untuk sebarkan aura positif kepada orang sekeliling.
“Senyumlah selalu, senyum itu satu sedekah”
Sumber : Berita Harian