Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu telah merampas 153 kilogram minyak masak paket bersubsidi di sebuah premis runcit di Kampung Banggol, Tok Jiring selepas barangan itu didapati dijual tanpa lesen dan melebihi harga kawalan.
Menurut pengarah KPDN Negeri, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut tidak memiliki lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi menjalankan urus niaga barangan kawalan tersebut.
Minyak masak peket bersubsidi itu juga dijual pada harga RM2.80 sekilogram iaitu melebihi harga kawalan ditetapkan oleh pihak kementerian iaitu RM2.50 bagi setiap peket. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM382.50 dan kertas siasatan berhubung kes dibuka dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Semua peniaga diberi amaran agar tidak mengenakan pembelian bersyarat kepada pelanggan yang ingin membeli minyak masak peket bersubsidi. Peruncit hanya dibenarkan mengehadkan kuantiti pembelian minyak masak polibeg bersubsidi bagi setiap individu tanpa sebarang syarat pembelian agar lebih ramai pengguna boleh menikmati subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS).
Turut ditegaskan, mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122). Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala, bagi syarikat pula, sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
Sumber: Sinar Harian