ALBUM: Robert merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian belia yang menyertai kem yang diadakan itu.
KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik berharap para belia yang menyertai North Borneo Camp X yang diadakan di Taman Bandukan Riverside Resort dapat meningkatkan kepimpinan serta keyakinan diri.
Kem yang diadakan selama empat hari tiga malam itu diselit dengan pelbagai aktiviti bermanfaat dan menarik bagi mengembangkan potensi diri belia agar mereka lebih berkeyakinan dalam mengharungi cabaran dunia ketika ini.
“Saya harap semua belia yang menyertai North Borneo Camp X ini dapat memanfaatkan segala yang dikongsikan sama ada menerusi kursus, taklimat dan sebagainya untuk meningkatkan kepimpinan.
“Program-program yang diadakan sepanjang kem ini sangat baik kerana ia dapat mengangkat belia ke tahap yang lebih baik terutama menerusi aktiviti kemasyarakatan yang diadakan dan mudahan penganjuran seumpama ini akan diteruskan lagi demi pembangunan belia itu sendiri, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan North Borneo Camp X yang diadakan di Ficus Hall Taman Bandukan Riverside Resort, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turut berharap belia yang ada pada hari ini terus menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu yang berjuang demi menuntut kesejahteraan yang dinikmati hari ini.
Katanya generasi yang ada sekarang bukan sahaja perlu menzahirkan penghargaan dan rasa syukur tetapi juga harus berusaha mengekalkannya bagi memastikan kemakmuran dapat dinikmati berterusan.
Beliau memberi contoh perjuangan pemimpin terdahulu dalam banyak perkara dan hasilnya sebahagian besar tuntutan itu direalisasikan dan yang terbaru Kerajaan Negeri mewartakan Hari Sabah pada 31 Ogos, hasil daripada perjuangan para pemimpin.
Dengan pengisytiharan itu, ia bukan sahaja untuk diraikan semata-mata tetapi harus disemarakkan lagi dengan menerapkan semangat juang yang tinggi bagi memberi pemahaman yang lebih jelas tentang detik bersejarah sekaligus menjadi kebanggaan semua lapisan masyarakat khususnya rakyat Sabah.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online