GERIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menangkap 14 gajah yang mengganggu penduduk di Tanjung Rimbun, Kampung Batu 6, Bandariang, di sini sejak Ahad minggu lalu bagi menjalani proses pemindahan atau translokasi.
Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, berkata empat gajah ditangkap pagi kelmarin selepas 10 gajah ditangkap Rabu lalu.
Katanya, konflik kawanan gajah berkeliaran di kampung itu mula dilaporkan sejak awal tahun ini, dengan 14 gajah yang ditangkap kali ini tidak termasuk enam gajah yang sebelum ini pernah ditangkap antara April hingga Jun lalu di kawasan sama.
Beliau berkata, operasi translokasi gajah yang dijadualkan selama enam hari bermula Khamis lalu mungkin dilanjutkan susulan tambahan empat gajah yang ditangkap.
“Biasanya kadar maksimum untuk sekali proses pindah (translokasi gajah) adalah tiga ekor gajah sahaja… mungkin ia mengambil sebanyak lima trip (perjalanan).
“Kesemua gajah-gajah yang ditangkap itu akan dipindahkan ke habitat yang bersesuaian,” katanya ketika dihubungi.
Yusoff berkata setakat semalam sebanyak enam gajah sudah dipindahkan, masing-masing membabitkan tiga berjaya dipindahkan semalam dan hari sebelumnya yang merupakan hari pertama operasi translokasi dijalankan.
Operasi translokasi membabitkan kekuatan 27 kakitangan dari PERHILITAN Perak dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang, dengan khidmat gajah denak, Abot dan Rambai diperlukan bagi melancarkan operasi itu yang menurut Yusoff, turut bergantung kepada faktor cuaca.
SUMBER: BH