Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu telah menahan seramai 10 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi Ops Sapu pada 18 Ogos 2024 di beberapa lokasi di sekitar daerah Dungun dan Kemaman. Operasi yang bermula jam 8.00 malam sehingga 6.00 pagi 19 Ogos 2024 itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Terengganu.
Hasil daripada operasi ini sebanyak 9 premis dan 96 individu telah diperiksa. Dari jumlah tersebut seramai 10 orang PATI telah ditahan melibatkan 6 orang warga Indonesia, 2 warga Bangladesh, seorang warga Pakistan serta seorang warga Myanmar yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 44 tahun.
Tujuh (7) orang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa manakala 3 orang lagi ditahan kerana kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal secara haram tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Empat (4) orang ditahan di satu premis di Kawasan Baroh Mak Chili (Jalan Chukai – Ibok), Kemaman, 4 orang lagi ditahan di satu premis di Teluk Kalong, Kemaman. Manakalan 2 orang lagi masing-masing ditahan sebuah kediaman di Bandar Seri Bandi, Kemaman dan di sebuah premis di Jalan Al-Muktafi Billah Shah, Dungun.
Sementara itu, dua (2) pemilik premis warga tempatan turut dipanggil untuk diambil keterangan kerana kesalahan melindungi PATI akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung keberadaan warga asing yang disyaki menyalahi undang-undang serta peraturan imigresen untuk siasatan dan tindakan. Tindakan tegas akan turut diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI.
Sumber: Jabatan Imigresen Negeri Terengganu