KUANTAN: Sejumlah RM69 juta kerugian membabitkan kes jenayah komersial direkodkan di Pahang bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu berbanding RM39 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata daripada jumlah itu, ia menunjukkan peningkatan ketara berjumlah RM30 juta.
Katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,455 kertas siasatan dibuka berbanding 1,585 kertas siasatan bagi tempoh sama tahun lalu.
“Dalam tempoh ini, tipu secara dalam talian merekodkan kes yang tertinggi iaitu sebanyak 1,184 kertas siasatan dibuka yang membabitkan kerugian berjumlah RM21 juta.
“Bagaimanapun jumlah kertas siasatan yang disiasat pada tahun ini berkurangan sebanyak 10 peratusberbanding tahun lalu yang menunjukkan keberkesanan aktiviti pencegahan yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
“Ia berdasarkan program pameran, ceramah, kempen pencegahan di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), agensi kerajaan dan swasta di seluruh Pahang.
“Program itu untuk memastikan orang awam sentiasa berwaspada dan cakna dengan modus operandi jenayah komersial yang terkini,” katanya.
Yahaya berkata demikian pada ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.
Mengenai kes orang hilang terutama dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat di Pahang bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu , beliau berkata, sebanyak 35 kertas siasatan dibuka berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 29 kertas siasatan.
“Dalam kes ini, saya menasihati orang awam yang kehilangan ahli keluarga supaya mengambil empat langkah penting bagi membantu polis mengesan mangsa.
“Langkah pertama ialah menghubungi orang yang hilang termasuk rakan mangsa, melakukan pemeriksaan lokasi terakhir, menyediakan maklumat penting individu yang hilang dan melaporkan ke balai polis berdekatan.
“Tindakan ini membantu polis dalam membuat analisis awal kehilangan mangsa dan seterusnya mengambil tindakan lanjut dalam usaha mengesan mangsa,” katanya.
SUMBER: BH