Tema Hari Kebangsaan 2024 ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ membawa makna mendalam untuk masyarakat hayati. Setiap individu, memainkan peranan penting dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara.
Selaras dengan makna ‘Jiwa merdeka’ menekankan kebebasan rakyat Malaysia daripada elemen negatif, maka tiga elemen utama sering dibincangkan dalam konteks psikologi, iaitu emosi, pemikiran dan tindakan perlu diperkasakan.
Kebebasan emosi dalam kalangan penduduk amat terbatas ketika zaman penjajahan. Kemarahan, kekecewaan dan kesakitan emosi amat dirasai kerana kerakusan serta kekejaman penjajah.
Ramai memilih memendam emosi kerana ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan diri serta keluarga. Namun, selepas merdeka, rakyat diberi kebebasan meluahkan emosi, sama ada positif ataupun negatif.
Emosi positif juga dapat meningkatkan kesejahteraan diri dan keharmonian dalam kalangan masyarakat. Emosi negatif seperti kemarahan, kekecewaan dan kesedihan juga mempunyai tempat dalam konteks psikologi.
Emosi negatif sekiranya dipendam terlalu lama boleh menjadi seperti gunung berapi akhirnya meletus dengan kesan buruk. Kegagalan menguruskan emosi negatif, seperti yang dapat dilihat dalam masyarakat masa kini boleh membawa kepada pelbagai isu kesihatan mental.
Oleh itu, bagi membina jiwa merdeka, rakyat perlu bijak menangani dan menguruskan emosi dengan cara sihat supaya dapat memainkan peranan positif dalam menyumbang kepada negara dan masyarakat.
Kebebasan pemikiran adalah asas kepada pembentukan jiwa merdeka berdaya saing, namun ia bukan sesuatu yang mutlak, sebaliknya perlu berlandaskan prinsip kebenaran dan nilai murni menjadi tunjang negara.
Kebebasan pemikiran mewakili keupayaan rakyat menilai sesuatu isu secara terperinci dan rasional, mempertimbangkan pelbagai perspektif, termasuk baik dan buruk serta membuat keputusan berdasarkan fakta sahih dan nilai kukuh tanpa mudah dipengaruhi tekanan atau pengaruh negatif luar.
Berfikir secara terbuka, inovatif
Pemikiran merdeka juga memerlukan rakyat bersedia berfikir secara terbuka dan inovatif dalam usaha memajukan diri serta negara. Dalam konteks Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum, kebebasan pemikiran harus diterjemahkan kepada toleransi dan penghormatan terhadap kepelbagaian.
Rakyat perlu elak membuat kesimpulan terburu-buru tidak berasas atau mempercayai sesuatu perkara tiada kepastian, seperti ahli nujum cenderung meramal sesuatu tidak pasti kesahihannya. Sebaliknya, rakyat harus berusaha mendapatkan maklumat tepat dan secukupnya sebelum membuat keputusan atau kesimpulan.
Pemikiran terlalu rigid pula boleh menjadi penghalang kepada adaptasi menghadapi perubahan, terutama dalam era globalisasi masa kini. Dalam usaha membentuk jiwa merdeka, sudah tiba masanya rakyat keluar daripada zon selesa.
Rakyat perlu berani mencabar diri keluar daripada zon selesa, terutama dalam mengharungi pelbagai cabaran mendatang yang memerlukan fleksibiliti, adaptasi dan inovasi berterusan.
Pemikiran fleksibel dan terbuka akan memastikan pemikiran rakyat terus relevan dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara.
Selepas beberapa dekad merdeka, negara melalui pelbagai fasa pembangunan sosial dan ekonomi, namun masih ada ruang untuk memperbaiki serta mempertingkatkan hubungan antara kaum dan memperkukuhkan perpaduan nasional.
Kesimpulannya, amat penting untuk rakyat sentiasa muhasabah bagi memperkasakan pemikiran, emosi dan tindakan bagi mencapai jiwa merdeka. Jiwa merdeka terbina melalui kesedaran dan tanggungjawab tidak hanya dipupuk ketika sambutan kemerdekaan semata-mata, tetapi perlu menjadi sebahagian daripada budaya hidup sebagai rakyat.
Penulis adalah Pensyarah Kaunseling, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia
SUMBER: BH