KUANTAN, 27 OGOS 2024 : Inisiatif `Fast 8′ akan diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri ini bagi mempercepatkan kelulusan permit pelaburan di negeri itu daripada 24 bulan kepada lapan bulan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, setakat ini, inisiatif itu sudah diperkenalkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
“Inisiatif itu untuk tumpuan diberikan terhadap pelaburan berimpak tinggi dengan mempercepatkan kelulusan permit pelaburan.
“Selain itu, kerjasama antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan dipertingkatkan untuk memastikan setiap proses yang terbabit dalam kebenaran merancang dan urusan perniagaan dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Klinik Perancangan Ease Of Doing Business sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 yang diadakan di SwissBel Hotel, di sini, hari ini.
Klinik anjuran PLANMalaysia Pahang itu dihadiri 200 peserta dan enam kertas kerja dibentangkan.
Antaranya berkaitan prosedur kelulusan merancang, prosedur permohonan di kawasan tanah tinggi, penyediaan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Lalulintas (TIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).
Beliau berkata, melalui klinik itu, semua pihak berkepentingan dalam proses merancang memahami dengan jelas prosedur dan syarat yang ditetapkan.
“Oleh itu saya harap semua pihak yang terbabit akan lebih berhati-hati dan memastikan bahawa setiap syarat ditetapkan dipatuhi dengan sepenuhnya,” katanya.
SUMBER: PAHANGMEDIA