Seorang Pembantu Perawatan Kesihatan sanggup mengambil 11 hari cuti tahunannya untuk menjayakan Kembara Solo sempena Hari Kemerdekaan yang dimulakan hari ini.
Misi kembara solo Halim Hamid, 48, yang bertugas di Hospital Tumpat akan memasuki 11 negeri di Semenanjung dengan anggaran jarak sejauh 4,000 kilometer (km).
Halim berkata, kembara solonya itu memasuki tahun ke-10 dan perjalanan kali ini adalah paling jauh dilakukannya.
Menariknya, skuter jenis Wmoto RT3 S 250cc digunakannya adalah dihadiahkan individu yang tertarik dengan misi kembara solo dilakukannya sejak 10 tahun lalu.
Halim yang juga Sukarelawan Simpanan Polis (SSPDRM) Kelantan berpangkat Sarjan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat berkata, bermula dari negeri ini, kembaranya akan memasuki Terengganu dan Pahang sebelum Johor dan semua negeri lain di Semenanjung sebelum berakhir di Perak.
Sumber: Berita Harian