Malaysia menegaskan komitmennya untuk menyokong usaha mencapai gencatan senjata dan memastikan keamanan yang berkekalan di Gaza di bawah panduan negara-negara utama termasuk Turkiye, Qatar dan Iran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen tersebut disampaikan semasa panggilan telefonnya dengan Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian dan anggota Biro Politik Hamas Dr Basem Naim pada 19 Ogos 2024.
Perkara utama perbincangan ialah cadangan Turkiye untuk mengadakan sesi tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menggerakkan pemimpin dunia Islam dalam memberikan tekanan yang lebih kuat ke atas Amerika Syarikat dan sekutunya, serta menggesa mereka supaya memaksa Rejim Zionis Israel untuk segera menghentikan serangan dan pengeboman di Gaza.
Kerajaan Iran dan Hamas bersetuju serta menyatakan sokongan mereka terhadap inisiatif ini, termasuk konsensus bersama untuk menghulurkan jemputan kepada negara bukan Islam yang membela keadilan dan hak asasi manusia untuk rakyat Palestin, seperti Afrika Selatan, Brazil, Sepanyol, Ireland, dan Portugal.
Sebarang kemajuan yang bermakna ke arah keamanan mesti dimulakan dengan penghentian tanpa syarat semua tindakan ketenteraan dan perbuatan pencerobohan terhadap rakyat Palestin oleh pihak Israel.
Sumber: Bernama