“WAN SALMAH: PENYANYI ASAL ULEK MAYANG”

Orang Terengganu mesra memanggilnya Mami, seumpama ibu yang banyak menyumbang jasa di bumi Darul Iman ini. Beliau ialah biduanita kelahiran Terengganu yang telah mengangkat lagu Ulek Mayang dan seni gamelan ke peringkat dunia.

Wan Salmah binti Wan Sulaiman, yang dilahirkan di Kampung Tiong, Kuala Terengganu pada 16 September 1944 adalah anak kedua daripada 12 orang adik-beradik. Zaman kanak-kanaknya sama seperti budak biasa, iaitu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Jambul dari darjah satu hingga darjah empat dan menduduki peperiksaan Special Malay Class. Setelah lulus peperiksaan itu, beliau memasuki Sultan Sulaiman Primary School Special Malay Class One hingga darjah enam. Kemudian, beliau menyambung pelajaran ke Sekolah Sultan Sulaiman Secondary School dari tingkatan satu hingga tingkatan lima dan memperoleh kelulusan Senior Cambridge.

Pembabitan beliau dalam bidang tarian dan nyanyian sudah bermula sejak zaman persekolahan lagi. Dan akhirnya berkembang apabila beliau memasuki Persatuan Belia Darul Ehsan di Kuala Terengganu pada sekitar 1960-an. Persatuan inilah yang sangat aktif dalam mengembangkan budaya serta kesenian Terengganu. Guru yang banyak mengajar Wan Salmah ialah Allahyarham Tuan Haji Mazlan Embong, iaitu orang yang mencipta lagu Ulek Mayang. Tuan Haji Mazlan jugalah yang telah mencipta gerak tari Ulek Mayang berdasarkan jalan cerita asal Ulek Mayang pada zaman dahulu.

Istimewanya Wan Salmah ini ialah beliau menjadi orang pertama yang merakamkan lagu Ulek Mayang di radio Terengganu pada sekitar tahun 1970-an. Malah, beliau juga orang pertama yang merakamkan lagu ini dalam album Senandung Terengganu yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.

Dalam bidang gamelan pula, Wan Salmah terlibat dalam Kumpulan Joget Gamelan Diraja Terengganu setelah seni gamelan ini dihidupkan kembali pada tahun 1969. Pada 1 April 1974, kumpulan SUKTRA (Kumpulan Penari dan Pemuzik Tetap Negeri Terengganu) ditubuhkan dan seni gamelan telah berkembang dengan pesatnya. Selain menari dan menyanyi, Wan Salmah pernah juga menjadi penolong jurulatih tarian gamelan dan tarian asas. Selain bergelar penyanyi dan penari, beliau turut berbakat dalam lakonan. Wan Salmah mula berlakon semasa berusia 14 tahun. Pada masa itu beliau diberi watak sebagai “Dayang” dalam pentas bangsawan “Megat Terawis”. Selepas itu, beliau aktif dalam seni lakonan bangsawan, drama dan teater.

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang kesenian, banyak pencapaian yang telah beliau peroleh. Bukan sahaja di peringkat dalam negara, malahan juga di peringkat antarabangsa. Antaranya adalah Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Terengganu pada 2016 dan Anugerah Tokoh Seni khas dalam bidang tarian pada 2018. Kemudian, beliau juga telah mendapat Anugerah Tokoh Gamelan pada Oktober 2018.

Paling membanggakan, beliau telah membawa tarian Gamelan Melayu ke peringkat antarabangsa dengan membuat persembahan di Frankfurt, Milan, Amsterdam dan Zurich. Beliau juga pernah mewakili Malaysia ke Festival Seni Asean Kali ke-9 di Hong Kong pada tahun 1984 serta menyertai Promosi Penggalakan Pelancongan ke Negara Eropah pada tahun 1988.

Menurut beliau, bidang kesenian memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi sebelum seseorang bergelar profesional. Memetik kembali kata-katanya; “Mami tiada harta yang banyak untuk diberi kepada masyarakat tetapi mempunyai ilmu berdasarkan pengalaman lalu dan semoga ia boleh dijadikan panduan untuk generasi akan datang.”

Sumber: FB The Patriots Studios, 12 Ogos 2024

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut