TEMERLOH, 17 OGOS 2024 : Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di negeri ini telah berjaya mencapai sasaran perolehan sebanyak RM1 bilion bagi tahun 2023 dan tahun ini berbanding sasaran ditetapkan pada 2025.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata ini bermakna koperasi di negeri ini telah mencapai sasaran ‘Road to 1 billion 2025’ dua tahun lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan oleh Menteri Besar Pahang pada Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Pahang 2022.
“YAB. Dato’ Sri Diraja (Haji Wan Rosdy Wan Ismail) pernah mengumumkan Road to 1 billion 2025 dan alhamdulillah kita capai awal iaitu pada tahun 2023 dan bagi tahun ini juga kita telah mencapai RM1 bilion di koperasi di negeri Pahang.
“Saya ucapkan terima kasih dan juga tahniah serta syabas kepada seluruh penggerak dan juga semua pihak yang telah pun menggerakkan koperasi-koperasi di Negeri Pahang ini untuk mencapai RM1 bilion yang sepatutnya dicapai pada tahun 2025 tapi telah dicapai lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Koperasi Negera 2024 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Tun Razak mewakili Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), YBrs. Encik Amran Abd Kadir; Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli; dan Pengarah SKM Cawangan Negeri Pahang, YBrs. Encik Ibrahim Husain.
Menurut beliau Pahang merekodkan 1,178 koperasi berdaftar di seluruh negeri dengan keanggotaan sebanyak 300,005 dengan aset didaftar bernilai RM1.5 bilion.
“Ini satu pencapaian yang tinggi di mana share anggota adalah sebanyak hampir RM450 juta dengan jumlah perolehan sudah pun menjangkau RM1.07 bilion.
“Dan bagi memastikan pencapaian ini dapat diteruskan pada tahun hadapan, kita mahu lakukan proses pemutihan secara berterusan di negeri ini sama ada membatalkan pendaftaran koperasi dorman yang tidak dapat dipulihkan atau mengaktifkwn semula koperasi-koperasi yang tidak aktif.
“Program pemutihan di peringkat koperasi juga hendaklah dilakukan dengan membuat kajian dan menyingkirkan apa-apa aktiviti perniagaan yang tidak mendatangkan hasil, bankan membawa kerugian kepada koperasi,” katanya.
SUMBER: PAHANGMEDIA