KOTA MARUDU: Kerajaan negeri, menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Sawit Kinabalu dan Jabatan Pertanian memulakan projek perintis penanaman padi seluas 100 hektar di Kampung Ongkilan, di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek itu akan membantu kerajaan negeri untuk meningkatkan tahap sara diri padi dan beras kepada 60 peratus pada 2030.
“Keterjaminan makanan adalah perkara asas yang mendapat perhatian globaldan Sabah juga tidak terkecuali.
“Populasi Sabah memerlukan sekurang-kurangnya 400,000 tan padi setahun, sedangkan pengeluaran beras domestik hanya dapat membekal 20 peratus daripada penggunaan negeri.
“Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menangani keterjaminan makanan dengan sebaik mungkin dan berkesan bagi memenuhi permintaan rakyat, khususnya beras,” katanya pada pelancaran projek itu, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Hajiji bersama Jeffrey melihat benih padi yang ditanam Sawit Kinabalu di Kota Marudu.
Hajiji berkata, Sawit Kinabalu menggunakan semua sumber dan teknologi canggih yang ada, termasuk dron dalam operasi penanaman padi yang dilaksanakan syarikat itu.
Katanya, ia termasuk penyediaan pam air dan sistem pengairan yang lebih sistematik untuk projek yang menelan kos RM5 juta itu.
Sementara itu, Ketua Menteri berkata masih banyak kawasan sawah terbiar yang boleh diusahakan, termasuk 2,600 hektar yang dikenal pasti di daerah ini.
“Oleh itu, tindakan mesti diambil bagi memastikan sawah terbiar ini boleh dihidupkan semula. Saya mahu lebih banyak GLC mencontohi usaha Sawit Kinabalu,” katanya.
Beliau juga mahu tanah milik GLC yang tidak digunakan supaya dibangunkan untuk pertanian, khususnya padi.
Jelasnya, ia boleh dilaksanakan dengan bimbingan daripada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri.
“Inisiatif Sawit Kinabalu ini selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah membangunkan penanaman padi dan pengeluaran beras negeri.
“Saya mempunyai harapan yang tinggi agar projek penanaman padi Sawit Kinabalu dikembangkan lagi bagi mencpai tahap skala ekonomi dan meningkatkan keuntungan kumpulan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong inisiatif membawa pembangunan ekonomi yang pesat, mapan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat di seluruh Sabah.
Beliau berbesar hati menyatakan bahawa dalam usaha membangunkan Kota Marudu, selain mengendali ladang dan kilang kelapa sawit, Sawit Kinabalu juga memainkan peranan penting dalam sektor lain seperti projek ikan siakap di Langkon, yang akan merangsang lagi industri makanan di daerah ini.
“Saya menggesa semua jabatan kerajaan dan agensi berkaitan agar sentiasa proaktif dalam memperkukuh sektor pertumbuhan ekonomi utama negeri seperti yang termaktub dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024
Sumber: INFO X