SANDAKAN: Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Sandakan, hari ini, atas pertuduhan membunuh anak seorang pemilik restoran di bandar ini pada Julai lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Zulfaizzie Hanafi Mohd Firdaus, 23, kerana masih menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa.
Majistret Nur Faezah Jafry kemudiannya menetapkan sebutan semula kes itu pada 10 September depan dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Zulfaizzie bersama dua lagi yang masih bebas didakwa membunuh Mohammed Noufal Abdul Rasheed, 35, antara jam 5.18 pagi, 21 Julai hingga 11.30 pagi, 25 Julai lalu.
Tertuduh didakwa melakukan jenayah itu di kawasan semak berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Memanjang, dekat sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Zamri Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, tiga lelaki diburu polis selepas penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh di kawasan semak berdekatan ladang kelapa sawit pada 25 Julai lalu.
Seorang daripada lelaki terbabit iaitu Mohd Zulfaizzie, kemudiannya ditahan di Selangor pada 1 Ogos lalu bagi membantu siasatan.
#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024
Sumber: INFO X