PENGEMBALA KAMBING DIDAKWA TANGKAP, SIMPAN HARIMAU KUMBANG

Seorang pengembala kambing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menangkap dan menyimpan seekor harimau kumbang Mac lalu. Mohd Firdaus Mohd Lani, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, orang kena saman (OKS) itu didapati telah menyimpan seekor harimau kumbang spesies Panthera Pardus di dalam sangkar kecil yang menyebabkan kesakitan terhadap haiwan liar tersebut. Kesalahan itu dilakukan pada 27 Mac 2024, kira-kira jam 4 petang di dalam sebuah kebun getah di Kampung Terentang, Batu Kikir, Kuala Pilah.

Berikutan itu, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 86(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646].Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, OKS pada tarikh dan di lokasi sama telah menangkap haiwan tersebut pada 22 Mac 2024 untuk melindungi haiwan ternakan. Bagaimanapun dia telah gagal melaporkan kejadian itu kepada mana-mana pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Berikutan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 54(3) Akta Pemuliharaan Hidupan 2010 (Akta 716) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 54(4) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2002 [Akta A1646]. Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore G Bolongon menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Lelaki berkenaan merayu tidak dikenakan jaminan kerana tidak mampu membayarnya selain hanya bekerja sebagai pengembala kambing dengan pendapatan RM1,000 sebulan. Dia juga memberitahu perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah. Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. OKS juga dilarang mengganggu saksi sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga dan mahkamah menetapkan 25 September depan untuk sebutan semula kes.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

PENDUDUK BANTAH ‘PROJEK HARAM’ PUSAT PERLINDUNGAN ANJING LIAR

Sebuah pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tanah rizab kerajaan di …
Maklumat Lanjut

PENIAGA RUGI RM677,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

Seorang peniaga makanan sejuk beku di Nilai mengalami kerugian lebih RM677,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan atas talian dipercayai …
Maklumat Lanjut

PROGRAM COMMUNITY BASED SECURITY MANAGEMENT (CBSM) BERSAMA IPD JELEBU

3 Julai 2025: Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk melaksanakan program bersama Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah …
Maklumat Lanjut