JADIKAN IKTIBAR KEKACAUAN DI LUAR NEGARA AKIBAT SALAH GUNA MEDIA SOSIAL

DALAM tempoh dua bulan pertama tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilaporkan menurunkan 27,115 kandungan dikategori memudaratkan di media sosial dan platform over the top (OTT) berbanding 35,490 kandungan sepanjang 2023.

Kandungan memudaratkan itu, termasuk ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu. Sejumlah 2,004 kandungan mengandungi ucapan berbaur kebencian dan menyentuh agama, raja serta kaum (3R) berpotensi mencetuskan keganasan diturunkan sejak Januari 2023 hingga Mac lalu.

Berdasarkan data itu, ternyata media sosial berpotensi menjadi alat untuk menyebarkan kebencian, berita palsu, platform menggalak masyarakat melakukan sesuatu tindakan mengancam kehidupan seperti merusuh atau tunjuk perasaan. Meskipun media sosial membawa banyak manfaat dan kemudahan, nampaknya teknologi itu semakin galak digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan kekacauan dan huru-hara.

Contoh perkembangan terkini ialah bagaimana media sosial mampu menjadi pencetus rusuhan di United Kingdom (UK) akibat didorong maklumat palsu tersebar dalam talian mengenai kewarganegaraan dan agama seorang remaja pendatang yang mencetuskan kebencian terhadap umat Islam dan penduduk imigran sehingga mengakibatkan pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan polis di seluruh UK.

Rusuhan berlaku di bandar utama seperti London, Manchester, Liverpool, Bristol, Leeds, Nottingham, Sunderland dan Belfast. Seperti diakui Ketua Majlis Ketua Polis Negara bagi ketenteraman awam UK, BJ Harrington yang berkata, ‘maklumat palsu adalah punca utama keganasan dan ramai menghadiri protes bertindak balas kepada apa yang mereka baca dalam talian’.

Jelas di sini, salah guna media sosial untuk menyebar maklumat palsu, menghasut dan membangkitkan sentimen perkauman adalah punca utama berlaku huru-hara, kekacauan dan tindakan luar kawalan manusia jika ia dibiarkan tanpa kawalan.

Maklumat tidak benar atau manipulatif disebar menerusi media sosial yang terlalu bebas berpotensi menimbulkan ketegangan dan perpecahan masyarakat, sekali gus menyulitkan kerajaan serta pihak berkuasa meredakan kekacauan yang tidak sepatutnya berlaku.

Lihat saja sejarah pada Januari 2021 apabila penunjuk perasaan menyerbu dan menawan Bangunan Capitol Amerika Syarikat (AS) yang mencetuskan ketegangan akibat tidak puas hati melampau pada keputusan pilihan raya presiden yang banyak dicetuskan menerusi media sosial.

Dalam soal, tanggungjawab menepis dan menapis kandungan disebar menerusi media sosial bukan terletak pada bahu kerajaan saja, sebaliknya pengguna juga lebih rasional bertindak balas terhadap maklumat diterima. Syarat pelesenan ditetapkan kerajaan kepada platform media sosial adalah langkah awal patut disokong demi menjamin kestabilan dan keamanan negara.

Sumber: Berita Harian

Artikel/Berita Terkini

WANITA MENGAKU TAK SALAH SEDIA KHIDMAT KLINIK GIGI HARAM

Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menjalankan amalan pergigian dan menyediakan klinik …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

POLIS TEMBAK MATI 2 PENJENAYAH KES SAMUN, EDAR DADAH DI NILAI

Dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun di tiga negeri mati ditembak polis di kawasan parkir …
Maklumat Lanjut