KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) disaran mewujudkan Undang-Undang Kecil yang mewajibkan peniaga kecil dan penjaja makanan di sekitar ibu negeri menguruskan minyak masak terpakai secara teratur.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata minyak masak terpakai perlu dikumpul dengan baik dan dijual semula di stesen minyak PETRONAS atau kepada syarikat pengumpul minyak masak terpakai
berlesen.
“Besarlah harapan saya sekiranya lebih ramai rakyat Sabah terutamanya peniaga kecil dan penjaja makanan di sekitar Kota Kinabalu dapat memberikan komitmen dalam pengurusan minyak masak terpakai yang lebih baik.
“Pada kesempatan ini, saya ingin mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk turut melaksanakan program pengumpulan minyak masak terpakai seperti mana yang kini sedang dilakukan oleh Kerajaan Tempatan Pulau Pinang.
“Adalah lebih mantap sekiranya kita dapat mewujudkan Undang-Undang Kecil yang mewajibkan peniaga kecil dan penjaja makanan sekitar Kota Kinabalu untuk menguruskan minyak masak terpakai secara teratur melalui kaedah penjualan di stesen minyak PETRONAS atau kepada syarikat pengumpul minyak masak terpakai berlesen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Stesen Minyak PETRONAS Jalan Lintas, di sini, hari ini.
Chan Foong Hin melihat proses belian minyak masak terpakai di Stesen Minyak PETRONAS Jalan Lintas, Kota Kinabalu.
Yang turut hadir ialah Datuk Bandat Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah; Ketua Setiausaha KPK, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Ketua Bahagian Strategi dan Kelestarian PETRONAS Dagangan Berhad, Harlina Pikri dan Ketua Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza A Wahab.
Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, pengumpulan minyak masak terpakai yang sedang dilaksanakan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan PETRONAS selari dengan program pengurangan beg plastik yang dilaksanakan DBKK.
“Mulai 1 Ogos, tiada lagi beg plastik disediakan apabila membeli belah di pasar raya sekitar Kota Kinabalu. Usaha DBKK ini selari dengan program pengumpulan minyak masak terpakai dalam memelihara alam sekitar dan mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata menerusi kerjasama KPK dan PETRONAS sejak Januari hingga Jun lalu, kira-kira 2,700 tan minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan di Sabah.
Katanya, jumlah itu dikumpul di tiga pusat pengumpulan minyak masak terpakai iaitu di Stesen PETRONAS Jalan Lintas, Kota Kinabalu, Stesen PETRONAS Batu 8 Labuk Bypass, Sandakan dan Stesen PETRONAS Jalan Utara, Tawau.
“Secara keseluruhannya, jumlah ini tidak sampai 1.5 peratus daripada jumlah pengumpulan minyak masak terpakai di seluruh Malaysia iaitu lebih kurang 200,000 tan pada tempoh yang sama,” katanya.
Beliau berkata, KPK dan PETRONAS melihat potensi untuk mengumpul sehingga 1.2 juta tan minyak masak terpakai ri seluruh negara bagi memenuhi keperluan industri hiliran berasaskan bahan berkenaan.
Katanya, jumlah itu disasar dikumpul PETRONAS untuk tempoh setahun berdasarkan kuantiti penggunaan minyak masak yang besar di negara ini, khususnya minyak kelapa sawit.
Jelas beliau, minyak masak terpakai kini dimanfaatkan untuk pelbagai industri hiliran termasuk bagi menghasilkan bahan api penerbangan mapan atau Sustainable Aviation Fuel (SAF) yang nilainya tiga kali ganda lebih tinggi berbanding bahan api biasa digunakan untuk industri penerbangan ketika ini.
“Secara kasar, kita berpotensi untuk mengumpul sehingga 1.2 juta tan di seluruh negara setahun dengan separuh daripadanya adalah untuk diproses bagi menghasilkan bahan api SAF.
“PETRONAS pun sudah merancang untuk membina loji pemprosesan minyak masak terpakai bagi menghasilkan SAF di Johor kerana potensi bahan api ini cukup baik berdasarkan piawaian penerbangan selain bernilai tinggi.
“Dalam hal ini, KPK terbabit bersama PETRONAS bagi melaksanakan program pengumpulan minyak masak terpakai kerana kebanyakan minyak masak terpakai di negara ini adalah minyak sawit.
“Jadi, ini adalah satu industri hiliran berasaskan kelapa sawit selain biojisim, biodiesel dan lain-lain yang berada di bawah KPK,” katanya.
#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024
Sumber: INFO X