MALAYSIA MAMPU JADI KUASA PENDESAK ATASI ANCAMAN JENAYAH SIBER

JENAYAH siber dilihat semakin mengganggu gugat kehidupan rakyat dengan bertambah kejadian buli, scammer dan pelbagai penipuan sehingga mendorong kerajaan menggubal rang undang-undang (RUU) khusus menanganinya.

Namun, wujud halangan tertentu menyukarkan kerajaan mengambil tindakan tegas, terutama kerjasama daripada syarikat penyedia platform media sosial.

Ikuti pandangan Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Teknologi Pintar Fakulti Komputer dan Meta Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Wiraputra Selamat dan Pengerusi Malaysia Cybersecurity Community Raw Security (rawSEC), Tahrizi Tahreb.

Soalan (S): Sejauh mana seriusnya jenayah scam, buli siber dan gangguan seksual pada masa ini?

Jawapan (J): Jenayah dalam talian ancaman sangat besar terhadap negara kerana membabitkan kesan negatif dalam aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat secara umumnya. Statistik untuk dua hingga tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan situasi agak parah bagi tiga jenayah ini.

Sebanyak 32,462 kes dalam talian direkod membabitkan kerugian lebih RM1.3 bilion di seluruh negara sepanjang 2023. Kerugian ini bukan sahaja menjejaskan kewangan rakyat, tetapi turut memberi kesan langsung kepada makroekonomi apabila berbilion ringgit sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk merangsang ekonomi dalam negara, ‘disakau’ penjenayah siber.

Buli siber pula memberi lebih ancaman kerana mangsa kebanyakan generasi muda. Tidak keterlaluan dinyatakan impak buli siber lebih buruk daripada buli fizikal kerana kesannya ke atas emosi, fizikal atau mental mangsa berterusan dan disaksikan audien lebih ramai.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) meletakkan Malaysia di tangga kedua dalam kes buli siber di Asia pada 2020, mungkin didorong perkembangan dan kemajuan teknologi rangkaian, tetapi pada masa sama menyaksikan kesedaran pengguna masih rendah, selain penguatkuasaan undang-undang lemah.

Ancaman terbesar dan paling parah tentunya gangguan seksual kanak-kanak dalam talian. Laporan UNICEF Malaysia pada 2021 menunjukkan sekurang-kurangnya empat peratus kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun menggunakan internet berdepan ancaman eksploitasi dan penderaan seksual secara maya. Eksploitasi terhadap gambar dan video, ajakan manis di media sosial dan komunikasi serta peras ugut antara ancaman sedang dihadapi anak kita. Keadaan ini sangat membimbangkan menyedari kenaifan kanak-kanak menghadapi ancaman pelaku jenayah lebih dewasa.

S: Apakah punca pengendali platform media sosial tidak memberikan kerjasama dalam aspek pematuhan undang-undang terhadap tiga jenayah terbabit?

J: Sebahagian platform media sosial berpandangan mereka perlu berpegang teguh kepada prinsip kebebasan bersuara dan menyampaikan pendapat. Kebanyakan platform media sosial dicipta atau dibangunkan di Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat yang kebebasan bersuara diberikan tempat tinggi.

Berkaitan scam semakin berleluasa di media sosial, terdapat kemungkinan ia tidak dibanteras dengan lebih bersungguh-sungguh oleh pengendali kerana pengiklanan daripada scammer turut mendatangkan keuntungan lumayan. Atas sebab itu masih banyak iklan berbayar dan tidak berbayar berlegar di alam maya, tetapi berpotensi menjerumuskan pengguna ke lembah penipuan.

S: Sejauh manakah kerajaan ada kuasa dari segi undang-undang untuk mendesak platform media sosial mematuhi undang-undang negara?

J: Kerajaan Malaysia mempunyai undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengawal selia kandungan dalam talian. Undang-undang ini membolehkan tindakan diambil terhadap individu atau syarikat melanggar peraturan termasuk sekatan akses, denda dan hukuman.

Namun, pelaksanaan undang-undang ini dianggap lapuk dan terbatas kerana industri industri telekomunikasi menyaksikan perkembangan cukup besar sejak akta ini digubal pada 1998, pada waktu sebelum kemunculan platform media sosial popular seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok. Teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan kriptografi juga tidak diambil kira atau diperincikan, selain kadar denda tidak berubah sejak akta berkenaan diwujudkan.

Langkah kerajaan mencadangkan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 amat tepat dan perlu disokong dalam usaha mengukuhkan keselamatan siber negara menghadapi ancaman siber semakin meningkat dan mencabar.

S: Halangan yang wujud ialah Malaysia tidak seperti negara kuasa besar memiliki kuasa mendesak platform media sosial mematuhi undang-undang negara?

J: Ada kebenarannya platform media sosial akan lebih menuruti kehendak atau permintaan negara mempunyai kuasa ekonomi dan saiz pasaran lebih besar. Ia normal bagi syarikat berorientasi keuntungan untuk memihak kepada negara mempunyai kuasa ekonomi lebih kukuh serta mewakili kelompok pengguna ramai. Namun, ia tidak harus menjadi sebab negara kecil seperti Malaysia tidak mampu menjadi kuasa pendesak kepada platform ini.

Antara strategi boleh dilaksanakan adalah mewujudkan jaringan kerjasama dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan negara ASEAN lain. Pendekatan kerjasama serantau dijangka boleh meningkatkan kuasa tawar-menawar secara kolektif, sekali gus sukar untuk diabaikan syarikat teknologi.

Malaysia juga boleh mengambil bahagian secara aktif dalam forum antarabangsa dan badan tadbir urus digital seperti Institut Jurutera Elektrikal dan Elektronik (IEEE), Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Konsortium Jaringan Sejagat (W3C) untuk mempengaruhi dasar global dan memastikan suara kita didengar di peringkat antarabangsa.

S: Apakah Malaysia memiliki kuasa bertindak terhadap syarikat media sosial dan mengharamkannya aplikasinya jika tidak mematuhi undang-undang negara?

J: Jika diteliti undang-undang dan kuasa dimiliki Perlembagaan, kerajaan boleh mengambil langkah mengharamkan pelantar media sosial tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Namun, kerajaan perlu berhati-hati supaya tidak dilihat cuba menyekat kebebasan bersuara. Tindakan tidak dibuat dengan teliti dan mengambil kira pelbagai sentimen akan mendatangkan persepsi buruk dari sudut politik dan boleh menterjemahkannya ke peti undi. Tambahan lagi, isu kebebasan bersuara sentiasa mendapat perhatian serius negara lain dan ia memberi kesan terhadap reputasi Malaysia khususnya dalam kalangan pelabur luar.

S: Sejauh manakah Akta Keselamatan Siber 2024 diluluskan Mac lalu dapat digunakan untuk menangani tiga jenayah dalam talian itu?

J: Jika diteliti, akta sebelum ini turut menyinggung tiga jenayah dalam talian iaitu scam, buli siber dan gangguan seksual dalam talian. Namun pelaksanaannya tidak begitu menyeluruh, terutama terhadap agensi berkaitan termasuk penyedia perkhidmatan media sosial dari dalam dan luar negara, selain tidak memperincikan teknologi lebih baharu seperti media sosial, AI dan sebagainya. Akta itu bertujuan menambah baik kerangka dan bidang kuasa pentadbiran keselamatan siber dalam negara. Ia bakal menyaksikan pelaksanaan undang-undang keselamatan siber negara diperketat dan diperluas termasuk kepada agensi dan pengendali media sosial dalam dan luar Negara. Diharapkan penguatkuasaan lebih tegas dapat dilaksanakan bagi membendung kegiatan jenayah siber terutama tiga jenayah di atas.

S: Apakah kita memiliki sumber manusia dan pakar teknologi untuk mengheret pesalah ke muka pengadilan?

J: Mekanisme penguatkuasaan dalam negara merangkumi polis, SKMM dan Jabatan Peguam Negara mempunyai anggota dan kepakaran teknologi belum mencukupi. Di sebalik kewujudan jabatan ditubuhkan khas untuk menangani jenayah siber seperti Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Cybersecurity Malaysia serta Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara (NC4), hukuman ke atas pelaku jenayah siber memerlukan anggota lebih ramai dan infrastruktur canggih untuk pengesanan menggunakan AI dan meta-heuristic.

Soalan (S): Sejauh manakah kerajaan mempunyai kuasa untuk mendesak platform media sosial mematuhi undang-undang negara?

Jawapan (J): Kerajaan sedang berusaha memperkasa Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedang dalam proses pindaan dengan memperuntukkan kuasa undang-undang untuk mendesak platform media sosial mematuhi undang-undang negara. Pindaan ini bertujuan memastikan undang-undang sedia ada lebih relevan dan berkesan menangani cabaran teknologi dan jenayah siber semakin berkembang.

Pindaan sedang dikaji Kementerian Komunikasi akan meningkatkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan teknologi untuk melindungi pengguna, khususnya dalam konteks jenayah siber seperti penipuan dalam talian, pornografi kanak-kanak dan keganasan seksual. Ini termasuk menambah baik peruntukan undang-undang untuk memastikan syarikat teknologi mematuhi piawaian keselamatan dan data peribadi lebih ketat.

Pindaan ini juga memperuntukkan kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang gagal mematuhi peraturan, termasuk menyekat akses ke platform tidak mematuhi undang-undang Malaysia. Dengan kuasa tambahan ini, kerajaan dapat memastikan perlindungan lebih baik bagi pengguna di Malaysia dan menguatkuasakan undang-undang lebih berkesan terhadap syarikat teknologi berpangkalan di luar negara.

S: Lazimnya syarikat antarabangsa tidak memberikan kerjasama untuk patuh undang-undang Malaysia. Bagaimana?

J: Syarikat antarabangsa sering kali tersepit antara kepentingan mendukung kehendak global dan keperluan serta desakan tempatan. Kebimbangan terhadap kerahsiaan pengguna serta keutamaan komersial mereka sering menjadi penghalang utama dalam memberikan kerjasama memuaskan. Proses birokrasi kompleks dan pelbagai keperluan undang-undang antara negara boleh menambah cabaran dalam usaha pematuhan ini ditambah pula dengan perbezaan keutamaan penguatkuasaan undang-undang antara negara asal syarikat dan Malaysia. Ini semua akan menyebabkan kekangan dalam memastikan pematuhan penuh dapat dilaksanakan.

Bagi negara kecil seperti Malaysia, mungkin dilihat kurang berpengaruh dalam mempengaruhi syarikat media sosial, namun terdapat beberapa cara untuk meningkatkan kuasa tawar-menawar Malaysia dalam konteks ini dengan mengolah kebijaksanaan diplomatik dan kerjasama serantau sedia ada.

Malaysia boleh memanfaatkan hubungan diplomatik dan kerjasama serantau melalui organisasi seperti ASEAN seperti membentuk blok lebih besar dan kuat, memberikan kuasa tekanan lebih besar kepada syarikat media antarabangsa untuk mematuhi undang-undang tempatan.

Kita boleh mengkaji dan menyesuaikan strategi digunakan Australia untuk mendapatkan bahagian lebih besar daripada perolehan iklan syarikat media sosial termasuk pendekatan perundangan tegas dan penggunaan daya pengaruh ekonomi sedia ada.

Namun begitu kita perlu sedar suara netizen atau pengguna media sosial tempatan antara elemen yang juga mampu memberikan tekanan kepada syarikat terbabit. Kempen kesedaran dan sokongan dari masyarakat boleh membantu dalam usaha ini dengan menggerakkan kesedaran dan kefahaman jelas terhadap penggunaan, etika dan adab media digital.

S: Instrumen atau kuasa undang-undang dimiliki Malaysia untuk mengharamkan aplikasi media sosial jika syarikat penyedia tidak mematuhi undang-undang?

J: Malaysia memiliki instrumen undang-undang dan agensi penguatkuasaan seperti SKMM serta polis. Walaupun kuasa ini mungkin tidak setegas di Amerika Syarikat (AS), kita masih boleh mengambil tindakan tegas terhadap platform tidak mematuhi undang-undang negara, termasuk menyekat akses jika perlu.

Akta Keselamatan Siber 2024 yang baru diluluskan misalnya menyediakan rangka kerja lebih jelas dalam menjamin keselamatan siber negara. Akta ini memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara dan memberikan kuasa kepada Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara mengeluarkan arahan dan menguruskan insiden keselamatan siber.

Dengan peruntukan jelas dan kuasa penguatkuasaan diperluas, akta ini memperkukuhkan lagi usaha kerajaan melindungi rakyat daripada ancaman siber semakin berkembang. Bagi menangani jenayah siber dalam talian dan scammer, ia termasuk dalam Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024. Beberapa peruntukan baharu diluluskan antaranya Seksyen 424B Kanun Keseksaan menetapkan kesalahan dan penalti bagi pemberian pemilikan atau kawalan terhadap instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan.

Seksyen 424C(1) pula memperuntukkan kesalahan dan penalti bagi penggunaan instrumen pembayaran atau akaun sendiri dalam transaksi kewangan, manakala Seksyen 424C(2) mengatur kesalahan dan penalti bagi penggunaan instrumen pembayaran atau akaun orang lain. Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah pula memberikan kuasa kepada polis merampas atau menyekat urusan transaksi kewangan.

S: Adakah kita memiliki kepakaran dan kemampuan untuk bertindak menangani ancaman jenayah siber?

J: Terdapat keperluan untuk kerajaan meningkatkan keanggotaan dan keupayaan kepakaran teknologi digital bagi memerangi jenayah siber. Memandangkan sifat teknologi begitu dinamik dan cepat berubah, kerajaan perlu merangka inisiatif pelaburan dalam latihan kepada pegawai dan pakar secara berterusan, meningkatkan penguasaan teknologi terkini dan bekerjasama dengan badan antarabangsa untuk memastikan keupayaan penguatkuasaan lebih efektif dan berkesan.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut